View: 214|Reply: 0
|
[Kelantan]
Mek Esah buat ramai rindu nenek
[Copy link]
|
|
MUHAMMAD Aliff Haikal bersama neneknya, Esah. FOTO ihsan Muhammad Aliff Haikal
Kota Bharu: "Terima kasih kepada yang memuji mek (nenek) saya comel dan cantik selain mendoakan kesihatan mek yang kini usia sebenarnya mencecah 100 tahun," kata Muhammad Aliff Haikal Mahamad.
Muhammad Aliff Haikal, 29, yang berkongsi video bersama neneknya, Esah Hamad di TikTok mencuri perhatian netizen sehingga ada videonya meraih sehingga 1.9 juta tontonan, semalam.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen malah ada yang turut meluahkan rasa rindu terhadap nenek mereka yang sudah meninggal dunia.
Berkongsi cerita, Muhammad Aliff Haikal berkata, neneknya yang tinggal di Kota Jembal, di sini memberitahu kelahirannya didaftarkan lewat ketika wanita itu mendakwa dia sudah berusia kira-kira 10 tahun.
"Saya percaya apa yang mek cerita kerana zaman dulu memang ramai yang daftar kelahiran lewat jadi ada yang usia lebih muda daripada usia sebenar, malah ketika itu juga keluarga mek agak susah dan sukar ke tempat pendaftaran.
"Lagipun mek seorang yang masih kuat ingatannya semua kisah hidupnya termasuk zaman Jepun dulu dia masih boleh ceritakan dengan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Usahawan pakaian itu berkata, neneknya kini sudah kurang berdaya untuk berjalan dan pendengaran juga agak kurang, namun penglihatan serta ingatannya masih jelas dan kuat.
Menurutnya, neneknya mempunyai enam anak dengan empat sudah meninggal dunia, 56 cucu, 101 cicit dan 11 piut hasil perkahwinan bersama datuknya yang meninggal dunia ketika anak mereka masih kecil.
"Ketika pulang cuti Aidiladha lalu mek mengadu tangannya juga sudah kurang berdaya dan agak kurang sihat tetapi mek tiada penyakit serta dia juga jarang demam sejak dulu.
"Malah sebelum ini pernah ada doktor mengusiknya dengan mengatakan darah mek darah orang muda. Mek memang seorang yang jaga pemakanan dengan setiap hari dia mesti makan ulam kampung seperti pucuk jenereh, putat dan ketereh selain sayuran lain," katanya.
Berhubung video TikToknya, dia berkata, ia dikongsikan hanya untuk kenangannya saja selain mengakui neneknya juga sudah 'mencuri hati' pengikut akaunnya yang kerap meminta dia berkongsi video mengenai wanita itu.
"Saya memang selalu buat video dengan mek cuma baru ini saja kongsikan di TikTok dan tak sangka ramai yang suka. Bagi saya semua ini untuk kenangan serta sementara mek dan ibu masih ada saya mahu mencipta memori bersama.
"Sebab itu sibuk macam mana pun saya yang berkerja di Muar, Johor akan curi sedikit masa untuk pulang ke Kelantan berjumpa mereka setiap bulan.
"Malah semangat kental mek membesarkan enam anak dengan melakukan pelbagai kerja kampung seperti menoreh getah, menjual daun pisang dan sayuran menjadi inspirasi saya dalam perniagaan biarpun ada jatuh bangunnya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-ramai-rindu-nenek |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|