|
Ariffin (kiri) menyampaikan taklimat cadangan program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Wisma MBKT, hari ini. NSTP/Baharom Bakar
KUALA TERENGGANU: Berkuat kuasa Jumaat ini, semua kenderaan bermotor dilarang melalui tiga jalan utama dalam bandar raya selama sembilan jam, mulai jam 3 petang.
Jalan yang akan ditutup kepada kenderaan bermotor setiap Jumaat adalah Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Bandar dan Kampung Cina.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata pengunjung hanya dibenarkan menaiki beca untuk membeli belah, termasuk makanan tradisional di Payang Walk yang akan diwujudkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Katanya, tiga laluan bermula dari Dataran Shah Bandar (hadapan pejabat Pos) ke Jalan Banggol, Kampung Cina hingga ke Pulau Warisan hanya dikhaskan kepada beca roda tiga.
"Kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersetuju meluluskan cadangan MBKT untuk menganjurkan program Payang Walk dan operasi beca warisan di sekitar Pasar Kedai Payang.
"Program Payang Walk yang dijangka membabitkan kira-kira 400 usahawan kecil itu diadakan bertujuan meningkatkan sektor pelancongan sebagai penggerak ekonomi daerah," katanya kepada media selepas menyampaikan taklimat cadangan Payang Walk dan operasi beca warisan di menara MBKT, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, berkata program Payang Walk dan penyediaan laluan beca roda tiga antara usaha kerajaan dan MBKT untuk memperkasakan Pasar Kedai Payang yang juga aset pelancongan utama negeri.
Katanya, antara pengisian di Payang Walk adalah jualan pelbagai produk termasuk makanan tradisional di pinggiran jalan, selain persembahan kebudayaan.
"Kerajaan dan MBKT membelanjakan sebanyak RM100,000 untuk menyediakan infrastruktur termasuk ruang jualan dan laluan beca roda tiga.
"Pengunjung yang akan ke Payang Walk hanya dibenarkan menaiki beca roda tiga dan dilarang menggunakan kenderaan bermotor," katanya.
Mengulas jumlah beca roda tiga yang akan digunakan pengunjung, Ariffin berkata, setakat ini empat kenderaan tradisional disediakan.
"Beca roda tiga yang akan beroperasi kini dinaik taraf secara berperingkat dan dilengkapi dengan kemudahan solar.
"Setakat ini kerja menaik taraf empat beca roda tiga sudah siap dilakukan, manakala sembilan lagi masih di peringkat ubah suai," katanya.
Mengenai kadar tambang, Ariffin berkata, MBKT sedang membuat penyelarasan tambang akan dikenakan kepada pengunjung.
https://www.bharian.com.my/berit ... di-kuala-terengganu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|