|
Machang: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itu perumpamaan untuk menggambarkan keadaan Nornikman Mat Yusoff, 39, yang terlantar sejak enam bulan lalu selepas hampir keseluruhan badannya ditumbuhi bisul.
Nornikman berkata, pada Januari lalu, bahagian belakang badannya ditumbuhi biji sebesar kacang selepas mengalami demam urat selama tiga hari.
"Bagaimanapun saya tidak menyangka biji yang tumbuh di bahagian belakang badan itu membesar menjadi bisul sebelum pecah dan mengeluarkan nanah.
"Bagaimanapun, keadaan itu tidak berkesudahan apabila bisul lama yang sudah kering ditumbuhi bisul baru dan kini, hampir keseluruhan badan saya luka sekali gus menyebabkan kurang selesa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong.
Terdahulu, Nornikman menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid.
Nornikman berkata, dalam tempoh enam bulan, sudah lapan kali dia menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk membuang nanah bisul.
"Kerana kesakitan, saya berikhtiar berubat secara tradisional sejak tiga minggu lalu dan sudah berhabis RM5,000.
"Pada masa sama, saya juga perlu mencuci luka dan setiap bulan, saya memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk membeli kelengkapan mencuci luka.
"Saya buntu memikirkan kos perubatan yang perlu ditanggung setiap bulan malah wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 hanya cukup untuk perbelanjaan harian," katanya.
Nornikman yang juga anak keempat daripada enam beradik berkata, sebelum ini, dia mampu mengurus diri walaupun berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong separas lutut akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Disember 2020.
"Namun kini, saya sudah tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri malah mengharapkan bantuan ibu, Munah Awang, 68, yang turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
"Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang rumah namun terpaksa berhenti sejak lebih dua tahun lalu. Kini, saya hanya mengharapkan bantuan JKM dan seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan adik-beradik yang lain kerana masing-masing turut mempunyai tanggungjawab," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 7611303096 atas nama Nornikman Mat Yusoff.
Nornikman yang terlantar kini mengharapkan bantuan daripada ibunya, Munah untuk menguruskan diri ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-badan-penuh-bisul |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|