|
LOKASI tempat orang awam membantu mengutip duit yang terjatuh di Kampung Lak Lok pada Rabu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Jertih: Selepas enam hari kejadian berlaku, pemuda yang keciciran wang RM30,000 di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini, hanya memperoleh semula RM1,000 apabila ia dipulangkan seorang wanita, hari ini.
Wan Mastura Wan Leh, 26, berkata, wanita itu memulangkan wang berkenaan kepada salah seorang ahli keluarga mereka dan dipercayai mahu diserahkan lebih awal tetapi tiada orang di rumah.
"Kami juga tidak sempat untuk memberikan saguhati atas usaha serta kejujurannya kerana sudi memulangkan semula duit disebabkan dia tergesa-gesa pulang.
"Kami harap lebih ramai yang tampil untuk memulangkan semula duit ini tidak kira berapa jumlahnya, sama ada banyak atau sedikit.
"Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit kerugian dialami adik (Wan Ibrahim, 24)," katanya ketika dihubungi.
Mengulas keadaan Wan Ibrahim selepas kejadian itu, Mastura berkata, adiknya semakin baik dan sudah mula keluar bekerja menggunting rambut sejak Sabtu.
Dalam kejadian 12 Julai lalu, Wan Ibrahim terlupa mengenai wang tunai lebih RM60,000 yang diletakkan di atas but kereta menyebabkan ia berterabur ketika dia melalui jalan dekat Kampung Lak Lok di sini.
Ketika kejadian, pemuda itu dalam perjalanan ke bank untuk menyimpan wang berkenaan yang juga simpanannya selama empat tahun.
Dia hanya sempat mengutip kira-kira RM30,000 selepas dibantu orang ramai, namun kehilangan RM30,000 lagi dan merayu pihak yang mengambilnya untuk memulangkan wang itu semula.
Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kampung Raja, memandangkan wang itu mahu digunakan untuk menjelaskan hutang perniagaan, membeli kereta dan membayar upah haji arwah bapanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 00-yang-dipulangkan |
|