Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (empat dari kiri) berjalan bersama jeneral tenteranya ketika melawat Unit Udara Tentera Rakyat Korea (KPA) 447. - Foto REUTERS
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, memecat jeneral tertinggi tenteranya dan menggesa persediaan pasukan tentera dipertingkatkan bagi menghadapi peperangan.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pengeluaran senjata ditambah dan latihan ketenteraan diperluaskan, lapor media rasmi negara, KCNA, hari ini.
Jong-un membuat kenyataan itu ketika mesyuarat Jawatankuasa Tentera Pusat yang membincangkan pelan tindakan balas bagi mencegah musuh Korea Utara yang tidak dinamakan, menurut laporan KCNA.
Jeneral Ri Yong-gil akan menggantikan jeneral tertinggi tentera yang juga Ketua Staf Umum, Jeneral Staff Pak Su-il, lapor KCNA tanpa menjelaskan sama ada Yong-gil akan kekal sebagai Menteri Pertahanan.
Menurut laporan sama, Jong-un juga menetapkan sasaran untuk menambah keupayaan pembuatan senjata ketika lawatan ke kilang menghasilkan senjata minggu lalu dan menggesa lebih banyak peluru berpandu, artileri, dan senjata lain dihasilkan.
Gambar diedarkan KCNA menunjukkan Jong-un menuding jari pada Seoul dan kawasan sekitar ibu negara Korea Selatan itu pada sebuah peta.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menuduh Korea Utara membekalkan senjata kepada Russia bagi berperang di Ukraine termasuk kelongsong artileri, roket dan peluru berpandu, yang dinafikan Russia dan Korea Utara.
Jong-un juga mengarahkan pasukan tenteranya mengadakan lebih banyak raptai menggunakan senjata dan peralatan ketenteraan terkini supaya sentiasa bersiap siaga untuk berperang.
Korea Utara juga sedang bersedia mengadakan perarakan tentera pada 9 September ini sempena ulang tahun ke 75 Hari Republik Korea Utara Diasaskan.
Korea Utara juga mempunyai sejumlah besar kumpulan separa tentera sebagai sokongan kepada pasukan tenteranya.
Dalam pada itu, AS dan Korea Selatan turut dijadual mengadakan latihan ketenteraan antara 21 hingga 24 Ogos, yang dilihat Korea Utara sebagai satu ancaman terhadap keselamatannya. - REUTERS
|