Lum Chap menyumbang motosikalnya kepada penuntut UTM bagi memudahkan pergerakan penuntut berkenaan menerima perhatian ramai. - Fotor ihsan pembaca
JOHOR BAHRU: "Motosikal ini memang berharga bagi saya kerana sudah digunakan hampir 20 tahun namun biarlah ia lebih berguna kepada insan memerlukan," kata warga emas, Lum Chap, 74.
Lum yang juga penduduk Johor Bahru, berkata bersyukur kerana hasratnya untuk menyumbang motosikal Honda EX5 kepada individu kurang berkemampuan akhirnya kesampaian.
Katanya, sukarelawan dari Persatuan Kebajikan Bank Makanan 448 Johor Bahru mengesan dan mempekenalkan kepadanya seorang penuntut lelaki berusia 20-an, berasal dari keluarga susah yang dalam pengajian tahun kedua ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Pada awalnya saya ingin menyumbangnya kepada pusat latihan orang kurang upaya (OKU), Persatuan Kebajikan Berkat Berganda Johor Bahru di Skudai, namun difahamkan ia bukan keperluan bagi penghuni mahupun pengurusan di situ.
"Apabila diberitahu seorang penuntut memerlukan kemudahan pengangkutan terutama ketika musim cuti, berikutan perkhidmatan bas berkurangan di kampus berkenaan, saya tidak fikir panjang untuk menyumbang motosikal ini kepadanya.
"Saya pindah milik nama kepadanya dan berharap ia digunakan sebaik mungkin. Saya juga berharap dia berjaya dalam pengajiannya," katanya ketika dihubungi.
Lum berkata, dia memiliki kereta pemberian dua anak yang bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.
Berikutan kesihatannya yang merosot kebelakangan ini, anak-anak tidak menggalakkan menggunakan motosikal berkenaan.
"Saya hanya sesekali menggunakan motosikal itu dan ia menyimpan pelbagai kenangan," katanya.
Sumbangan daripada warga emas itu mendapat perhatian netizen menerusi perkongsian di Facebook baru-baru ini.
Sumbangan itu diserahkan kepada penuntut UTM pada awal bulan ini.
|