|
Penduduk Kampung Perigi Acheh di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor menunjukkan struktur jambatan baharu yang senget awal pagi kelmarin.
JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Perigi Acheh di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini melahirkan kebimbangan apabila satu struktur binaan jambatan baharu di kampung tersebut senget dan tenggelam akibat mendapan tanah, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, binaan yang terjejas adalah struktur yang menempatkan saluran utiliti seperti kabel elektrik dan paip air untuk kegunaan penduduk kampung.
Seorang penduduk kampung, Zaili Chik, 70, memberitahu, dia mendengar bunyi kuat kira-kira pukul 5 pagi ketika sedang mandi.
“Bunyinya memang kuat, seperti ada benda jatuh, tetapi saya ingat tiada apa-apa yang berlaku. Namun apabila membuka kedai makan pada pukul 6 pagi, saya dapati struktur binaan itu telah jatuh dan senget akibat mendapan tanah
“Bimbang juga kerana jambatan baharu ini belum lagi siap tetapi sebahagian strukturnya sudah runtuh, mujurlah tiada mana-mana pihak cedera dalam kejadian ini.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, dan lebih penting lagi keselamatan semua penduduk terjamin, termasuklah kanak-kanak,” katanya kepada pemberita.
Seorang lagi penduduk kampung, Jais Mata, 54, pula memberitahu, struktur yang runtuh itu bersebelahan dengan pangkalan nelayan Kampung Perigi Acheh, iaitu tempat dimana bot-bot nelayan disimpan.
“Terkejut juga apabila pagi ini melihat sebahagian jambatan ini sudah senget, rekahan batu juga dikesan dengan batang besi yang menyokong tiang struktur binaan tersebut juga telah bengkok.
“Selain faktor keselamatan, kejadian ini juga merisaukan kami yang mencari makan sebagai nelayan, kerana sekiranya struktur ini runtuh ia akan menghalang laluan keluar masuk bot nelayan,” ujarnya.
Jambatan baharu sepanjang kira-kira 300 meter dan setinggi 20 meter itu dibina bertujuan menggantikan struktur jambatan lama yang sebelum ini roboh pada tahun 2016.
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... -siap-sudah-senget/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|