|
Siti Hawa Daud menunjukkan kaki kiri suaminya yang terpaksa dipotong. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Kuala Krai: Tragedi 8 Jun 1978 menjadi titik sejarah hitam dalam hidup Sarjan (B) Mohd Noor Che Mat, 73, apabila kehilangan kaki kiri selepas terpijak jerangkap samar ketika menyertai operasi menjejaki pengganas komunis.
Mohd Noor berkata, ketika itu dia bersama rakan sepasukan ditugaskan dalam operasi Gubir, Kedah untuk menangani ancaman komunis di sempadan negara.
Katanya, dalam perjalanan pulang selepas menjejaki pengganas komunis dalam hutan tebal, pasukannya diserang hendap musuh dan dalam keadaan kekalutan ada antara mereka terpijak jerangkap samar menyebabkan kecederaan parah.
"Saya ingat ketika itu, lapan anggota termasuk saya terpijak jerangkap samar dan kami semua parah.
"Saya cedera pada kaki kiri selepas jerangkap samar itu meletup dan terpelanting beberapa meter menyebabkan kasut hancur selain isi kaki berjurai serta berlumuran darah.
"Pada waktu itu tidak dapat digambarkan betapa sukarnya saya dalam keadaan cedera mahu keluar dari medan perang dan dalam masa sama perlu menahan sakit, apa lagi perlu bergerak dan mengelak serang hendap sebelum sampai ke Hospital Alor Setar dengan helikopter bersama anggota lain yang cedera," katanya di rumahnya di Kampung Tengah, Batu Balai di sini, kelmarin.
Terdahulu temu bual dibantu isteri, Siti Hawa Daud, 67, menggunakan bahasa isyarat memandangkan Mohd Noor terlantar selepas mengalami masalah saraf otak sejak tujuh tahun lalu sehingga menjejaskan penglihatan dan pertuturan.
Mengulas lanjut, bapa enam anak dan 16 cucu itu berkata, disebabkan kecederaan dialami, kaki kirinya dipotong hingga paras betis untuk membuang serpihan tulang selain mengelakkan jangkitan.
"Hampir sebulan saya menerima rawatan di Hospital Alor Setar sebelum menjalani rawatan susulan dan fisioterapi sehingga mendapat kaki palsu.
"Sepanjang proses pemulihan, isteri banyak memberi sokongan dan sentiasa ada bersama. Apa yang berlaku dianggap takdir yang tertulis, namun sedih kerana selepas insiden itu, saya tidak dapat lagi menyertai operasi bersama rakan lain," katanya.
Mohd Noor berkata, kecacatan kekal dialaminya itu tidak pernah sesekali melunturkan semangatnya malah bangga kerana dapat memberi khidmat kepada tanah air demi keamanan dan keharmonian.
"Bagaimanapun, insiden terkena jerangkap samar ini diingati sepanjang hayat. Sebaik sembuh daripada kecederaan, saya bertugas di Markas Staf Stesen Kem Desa Pahlawan dan bersara pada 1994 serta menerima pencen," katanya.
Sementara itu, Siti Hawa berkata, ketika suami kehilangan kaki akibat kecederaan menentang komunis mereka baru mengikat tali pertunangan.
"Namun, disebabkan cinta, saya terima keadaan suami seadanya pada ketika itu dan rela sehidup semati dengannya.
"Saya terus melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri untuk menjaga suami yang kini terlantar sakit serta memerlukan perhatian.
"Alhamdulillah, kebajikan suami mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia yang menampung kos perbelanjaan susu khas," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -terpijak-jerangkap |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|