SAIFULLAH mencium buaya . FOTO Ihsan Saifullah Muhammad Sarath
Ayer Keroh: Sejak di bangku sekolah lagi Saifullah Muhammad Sarath sudah dilatih cara 'bermesra' dengan buaya dan bagaimana untuk menjinakkan reptilia itu.
Lantaran itu, Saifullah, 33, tidak gentar hingga pernah mendapat jolokan Putera Buaya kerana keberaniannya membuat pertunjukan beraksi seperti duduk dan berbaring di atas
reptilia berkenaan ketika berusia sembilan hingga 13 tahun.
Kini, buaya masih lagi menjadi teman karib Saifullah, malah menjadi rutin hariannya menjaga dan memberi makan kepada haiwan berkenaan sejak kembali bertugas sebagai penjaga haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di sini, dua tahun lalu.
Berkongsi kisahnya, Saifullah berkata, bapanya, Muhammad Sarath Abdullah, 63, yang juga Pengurus Operasi Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di sini, adalah individu yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya mengenai cara mengendalikan buaya.
Menurutnya, ilmu dan pengalaman itu yang banyak membantunya membiasakan diri dengan ragam haiwan berkenaan yang diakui mengganas pada waktu tertentu.
"Saya sudah didedahkan dengan buaya sejak 1999 dan kebetulannya, ayah menyandang jawatan sebagai pengurus besar di taman buaya.
"Waktu itu berlaku kegawatan ekonomi jadi pihak pengurusan (Taman Buaya dan Rekreasi Melaka) merancang elemen kejutan untuk menarik kedatangan pengunjung dengan menampilkan persembahan kanak-kanak beraksi bersama buaya.
"Ayah tawarkan saya peluang itu dan bertitik tolak daripada situ, saya dapat pendedahan awal kerana perlu menjalani latihan selama dua bulan sebelum membuat pertunjukan sulung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
|