KAMARUL Zaman Mamat. FOTO Arkib NSTP.
Johor Bahru: Polis Johor menubuhkan pasukan task force atau pasukan cantas bagi memantau sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, Muar.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan task force itu membabitkan kira-kira 300 hingga 400 anggota polis.
Beliau berkata, malah bilangan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan sekitar juga akan ditambah untuk mempergiatkan pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku.
Menurutnya, pihaknya turut mengingatkan semua pihak agar tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang tempoh kempen serta saling menghormati antara satu sama lain.
"Saya mengingatkan semua yang terbabit supaya berkempen secara berhemah dan tatatertib serta menjauhi perbuatan merosakkan bahan kempen dan sebagainya.
"Begitulah juga berkempen menerusi media sosial, mereka seharusnya mematuhi undang-undang," katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya menjangkakan akan menerima permohonan permit bagi ceramah dari parti yang bertanding di PRK mulai esok.
Menurutnya, seboleh-bolehnya pihaknya akan memudahkan proses permohonan berkenaan.
"Kecuali polis berpandangan ia tidak sesuai atas faktor keselamatan pada masa berkenaan, kita akan menolak permohonan atau akan mencadangkan perubahan masa dan sebagainya.
"Apa-apa aktiviti perlu dimaklum kepada polis, kita akan pantau dan sekiranya berlaku pergaduhan, kita akan ambil tindakan sesuai," katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, cuti keseluruhan anggota polis di Johor juga dibekukan dan pihaknya tidak memerlukan bantuan pasukan dari luar.
Disiarkan pada: Ogos 25, 2023 @ 2:23pm
|