Gambar hiasan. - Foto NSTP
TIRUCHIRAPPALI: Satu jongkong emas yang disorokkan dalam balang coklat jenama terkenal yang dibawa oleh penumpang dari Kuala Lumpur dirampas oleh pegawai kastam di lapangan terbang Tiruchirappalli di Tamil Nadu, India.
Dilaporkan, jongkong emas yang bernilai hampir 890,000 rupee (RM49,888) dibawa oleh seseorang yang melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur pada Isnin.
The Economic Times semalam melaporkan, emas 24K seberat 149 gram ditemui itu oleh Unit Perisikan Udara India.
Pegawai Kastam India dilaporkan berkata, jongkong emas itu diperbuat daripada serbuk emas dan kemudian disembunyikan dalam botol coklat sapuan.
Suspek kini ditahan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut Seksyen 104 Akta Kastam, manakala jongkong emas dirampas mengikut peruntukan Seksyen 110 Akta Kastam.
Difahamkan, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan. - AGENSI
|