|
MOHAMAD Hakim menunjukkan gambar Iqbal Faiz yang juga seorang daripada tiga yang maut dalam nahas di Kilometer 50 Lebuhraya Senai-Desaru, semalam. FOTO Izz Laily Hussein
Kota Tinggi: Tiga rakan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 50 Lebuhraya Senai-Desaru di sini, petang semalam dalam perjalanan pulang selepas mengikuti perkhemahan sempena cuti Hari Kebangsaan.
Namun, malang perjalanan itu berakhir tragedi apabila kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang, mengakibatkan tiga daripada mereka meninggal dunia, manakala seorang lagi cedera parah.
Dalam kejadian itu, Iqbal Faiz Mat Sah, 20; Nurul Afrahrina Sazli, 19 dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi, Izznur Harith Safwan Nordin, 19, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Keempat-empat mangsa adalah pelajar di Kolej Poly-Tech MARA, Batu Pahat.
Menurut seorang rakan mereka, Mohamad Hakim Md Nor, 19, yang juga rakan serumah Iqbal Faiz, empat sekawan itu bersama beberapa rakan lain merancang aktiviti perkhemahan berkenaan sejak seminggu yang lalu.
Katanya, mereka menyewa kereta untuk berkhemah di Pantai Batu Layar di sini, dan bertolak pada kelmarin sebelum merancang pulang semalam.
"Ketika kejadian, mereka sebenarnya sudah dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat kerana esok (hari ini) kami ada kuliah.
"Saya masih ingat bila Iqbal Faiz hendak keluar ambil kereta sewa, dia sempat cakap 'aku gerak dulu' dan tidak sangka itu adalah ayat terakhir sebelum saya dapat panggilan jam 3 petang menyatakan dia maut dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.
Kongsi Mohamad Hakim, Iqbal Faiz adalah seorang rakan yang periang dan peramah, namun dua hari sebelum kejadian dia seolah-olah menyepikan diri.
Menurutnya, mereka sempat meluangkan masa makan bersama, namun makanan Iqbal Faiz tidak habis seolah dia tiada selera untuk makan.
"Pada hari Rabu, kami sempat makan bersama-sama. Memang nampak pelik sebab dia banyak diam, makan pun tidak habis. Selepas itu kami sudah tidak berjumpa kerana dia terbabit dengan perarakan kemerdekaan.
"Cuma pada hari Jumaat (kelmarin), sebelum dia bertolak ke Kota Tinggi kami solat Jumaat bersama-sama," katanya yang memaklumkan Iqbal Faiz akan dikebumikan di Kuantan, Pahang.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.15 petang.
Beliau dipetik berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Bezza, sebuah Volkswagen Beetle dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova.
Katanya, Perodua Bezza yang datang dari arah Desaru cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.
"Pemandu Volkswagen Beetle tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan Perodua Bezza, manakala MPV yang terbabit berlanggar secara depan dengan Perodua Bezza itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-selepas-berkhemah |
|