|
Pesakit kanser limfoma, Norfarahain menunjukkan rekod perubatannya di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Ikutkan hati, saya hampir putus asa. Sehingga kini, saya masih masih gagal mengumpul RM420,000 bagi membeli 24 suntikan 'pembrolizumab' disyorkan doktor," kata pesakit barah limfoma tahap dua, Norfarahain Abd Manap, 34.
Suri rumah itu berkata, dia tidak menafikan menerima beberapa sumbangan sekali bayar namun jumlah berkenaan hanya mampu menampung kos ulang-alik ke hospital.
Menurutnya, sebaliknya permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) mahupun Majlis Agama Islam Johor (Maij) masih tiada maklum balas.
Katanya, semakin hari dia bukan saja tertekan memikirkan nasibnya malah jangka hayatnya juga semakin pendek berikutan masih gagal mendapatkan rawatan sesuai.
"Ubat yang disyorkan doktor menyamai harga sebuah rumah iaitu RM420,000 dan jelas kami tidak mampu.
"Dengan pendapatan suami, Muhammad Adam Abdullah, berusia 29 tahun yang bertugas sebagai anggota tentera, kami perlu menyara dua anak hasil perkahwinan pertama saya walaupun mereka tinggal bersama ibu saya.
"Kami sudah mencuba pelbagai cara namun sehingga kini masih tidak dapat mengumpul dana diperlukan.
"Saya semakin bimbang memikirkan nasib saya, tambahan pula, baru-baru ini rakan saya meninggal dunia akibat barah," katanya ketika ditemui.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Norfarahain boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank miliknya di 162786154316.
Sementara itu, Muhammad Adam berkata, suntikan pembrolizumab diperlukan untuk meningkatkan peluang hidup isterinya.
Menurutnya, ubat itu disyorkan doktor bertujuan meningkatkan sistem imunisasi badan bagi mengesan, melawan sel tumor secara sasaran dan meningkatkan peluang hidup buat penghidap barah paru-paru.
"Isteri memerlukan 24 suntikan berharga RM420,000, harganya sangat tinggi.
"Sudah hampir sebulan kami memohon bantuan kewangan bagi perubatan isteri, kami merayu agar agensi berkaitan membantu," katanya.
Pada 2 Ogos lalu, Harian Metro mendedahkan kisah suri rumah berkenaan yang didiagnos menghidap barah limfoma peringkat awal Ogos tahun lalu dan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran yang tamat Februari lalu.
Sel barahnya kembali aktif Jun lalu selain merebak ke paru-paru. Hasil pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan), dia didapati memiliki ketumbuhan sebesar 12 sentimeter di paru-paru hingga mengganggu sistem pernafasan.
Ia menyebabkannya kerap batuk, sesak nafas serta badannya dalam keadaan lemah.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rah-limfoma-tahap-2 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|