CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1439|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Tangisan syukur asnaf warga emas dibantu PPZ-Maiwp

[Copy link]
Post time 9-9-2023 03:17 PM | Show all posts |Read mode

MOHD Na’im (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Raja Rosli dan isterinya Sa’adiah Said, 58, di rumah sewanya. FOTO Fathil Asri

Kuala Lumpur: Tangisan asnaf warga emas, Raja Rosli Raja Aziz mencetuskan suasana pilu ketika kediamannya di Kampung Padang Balang, di sini, dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Raja Rosli, 64, tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan kembali kisah sebelum ini pada 2015 pernah tinggal di pondok usang di bawah pencawang elektrik di Bukit Jalil bersama isterinya Sa'diah Said, 58.

Pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan anak itu kemudian dibantu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-Maiwp) dan dipindahkan ke kediaman sekarang dengan tanggungan sewa bulanan RM300 oleh organisasi itu.

Sa'diah ketika menceritakan ringkas keadaan itu berkata, mereka sangat terhutang budi dengan seorang pengawal keselamatan dikenali Termizi berhati mulia yang bukan sahaja menghulurkan bantuan kewangan malah menyalurkan kisah kesusahan mereka kepada pihak PPZ-Maiwp.

"Masa itu pada Ramadan 2015, saya dan suami tiada tempat tinggal dan terjumpa satu pondok lama di bawah pencawang elektrik.

"Kami mengambil keputusan tinggal di situ meneruskan kehidupan. Kira-kira sebulan kami tinggal di situ, seseorang yang bernama Termizi bekerja sebagai pengawal keselamatan menyedari situasi kami.

"Dia sendiri tidak menyangka bahawa ada orang tinggal di pondok usang berkenaan. Memang kecil, kami tak boleh tidur berbaring lurus sebaliknya kena membengkokkan badan supaya kaki tak terkeluar daripada pondok," katanya ketika mengenangkan kisah sedih itu.

Ketika ini dia bersyukur tinggal di kediaman lebih selesa sesuai untuk menjaga dirinya dan terutama suami yang juga pesakit angin ahmar, kencing manis, darah tinggi, jantung dan hati.

Raja Rosli yang sudah bertongkat, pernah menjalani pembedahan di kepala dan hati tidak mampu bekerja lagi dengan setiap pagi perlu mengambil 10 jenis ubat serta malam pula lima jenis ubat untuk menjaga kesihatannya.

Pada 25 Jun lalu, beliau juga diberikan bantuan one-off RM39,600 di bawah Bantuan Perubatan Am oleh pihak Maiwp.

Untuk menyara kehidupan harian, selain bantuan RM500 sebulan oleh Maiwp, setiap pagi Sa'diah berniaga kecil-kecilan di hadapan rumahnya menjual kuih-muih seperti pulut panggang, apam, cucur badak, keria, koci selain mihun goreng, kueytow goreng dan nasi lemak berlauk.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata kunjungannya bersama agensi di bawahnya terhadap pasangan suami isteri Raja Rosli dan Sa'diah berkenaan antara pengisian program Ziarah Asnaf Bersama Menteri (Hal Ehwal Agama) Siri 2.

Beliau berkata, pihaknya sangat mengharapkan setiap individu dalam masyarakat memaklumkan kes seumpamanya seperti watak Termizi dalam kisah sedih Raja Rosli dan Sa'diah supaya tiada seorang pun yang tertinggal daripada mendapat pembelaan keluar dari garis kemiskinan.

"Kita ada agensi yang bertanggungjawab untuk membantu tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing.

"Setiap kejiranan kena sentiasa cakna, tengok jiran sebelah rumah kesusahan, apa yang diperlukan. Kepada mereka yang Allah SWT kurniakan kelebihan, harap bantulah yang diuji penderitaan.

"Ini masyarakat madani yang kita nak lahirkan sebagaimana harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mahu masyarakat sentiasa cakna, berakhlak baik dan fikirkan juga kesusahan orang lain," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya sangat menggalakkan setiap umat Islam supaya melaksanakan tanggungjawab membayar zakat.

"Ramai di luar sana saya percaya yang Allah SWT beri kelebihan. Bagi mereka seperti syarikat yang mendapat keuntungan yang besar tunaikanlah kewajipan berzakat.

"Bayangkan semua yang layak mengeluarkan zakat melaksanakan tanggungjawab membayar zakat. Insya-Allah kita akan dapat mengeluarkan lebih ramai lagi orang seperti Pak Raja dan puan Sa'diah daripada kesusahan yang mereka hadapi kepada keadaan yang lebih sejahtera," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... s-dibantu-ppz-maiwp
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-1-2025 02:09 PM GMT+8 , Processed in 0.038926 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list