View: 3089|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Pusat Bencana Geologi Negara tingkat kecekapan amaran awal
[Copy link]
|
|
GAMBAR hiasan.
Kuala Lumpur: Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini untuk meningkatkan kecekapan dan tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana seperti tsunami, banjir dan tanah runtuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan prihatin dengan implikasi bencana terhadap semua pihak dan menumpukan usaha untuk melindungi rakyat.
"Manakala Dasar Pengurusan Bencana Negara di bawah kawal selia Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan disemak semula untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan meningkatkan keupayaan dalam menguruskan bencana," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab sebahagian pihak yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai menggugat kemampanan dan menjejaskan rantaian makanan serta mengancam kesihatan penduduk sekitar.
"Usaha pembersihan dan pemulihan air akan mengambil masa dan menelan kos yang tinggi. Justeru, akta berkaitan pencemaran sumber air dan juga industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman lebih setimpal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Usaha ini bagi menjamin kemampanan sumber dan perkhidmatan air bersih untuk kegunaan rakyat," katanya.
Anwar berkata, dalam RMK12, kerajaan juga memberi komitmen untuk membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah hampir RM22 bilion.
"Keperluan peruntukan yang begitu besar bagi mengatasi masalah rakyat ini memberikan kewajaran untuk kerajaan menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu," katanya.
Selain itu katanya, usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya yang kini kian terancam akan dipertingkatkan.
"Malaysia merupakan satu-satunya tanah habitat Harimau Malaya di dunia. Inisiatif ini penting bagi memastikan keseimbangan ekosistem agar kemampanan alam terjamin," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cekapan-amaran-awal |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|