View: 623|Reply: 0
|
[Selangor]
Bermula dengan tugas sapu sampah, kini pengurus pemasaran
[Copy link]
|
|
HAMDAN seronok melayan pelanggan. FOTO ihsan Hamdan Sadikin
Shah Alam: Bermula sebagai pekerja bawahan yang tugasnya membersihkan lantai dan menyapu sampah, siapa sangka Hamdan Sadikin kini bergelar pengurus pemasaran restoran hasil kerja kerasnya selama hampir tiga dekad mencari rezeki dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Hamdan, 48, berkata, dia diberi kepercayaan menyandang jawatan itu selepas 25 tahun menjadi pengurus cawangan restoran.
Menurutnya, pencapaian itu amat bermakna kerana bukan mudah untuknya berada pada tahap sekarang kerana tiada kelulusan tinggi.
Tambahan, Hamdan mencari peluang kerja dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa segulung diploma mahupun ijazah dalam bidang makanan dan minuman (F&B) atau lain-lain pengajian.
"Saya mula menimba pengalaman kerja pada usia 20 tahun sebagai pembantu di sebuah restoran makanan Thailand di pusat beli-belah dekat Subang Jaya.
"Empat tahun juga saya bekerja di situ sebelum cari pengalaman lain sebagai operator pengeluaran kilang dan kerani namun dapat rasakan kerjaya itu tak sesuai dengan saya kerana saya suka jumpa orang.
"Jadi saya berhenti dan cuba ambil angin baru dengan bekerja di restoran bermula sebagai penyelia hingga dinaikkan menyandang jawatan dipegang sekarang (pengurus pemasaran)," katanya ketika ditemui Harian Metro di Restoran Windmill dekat sebuah pusat beli-belah, di sini.
Hamdan mengakui kerjaya dalam sektor F&B menyeronokkan namun banyak masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan.
Bagaimanapun, Hamdan bertahan kerana minat dan memikirkan tanggungjawabnya mencari rezeki buat keluarga.
"Ketika jadi pekerja bawahan dulu, banyak benda yang saya kena buat.
"Sama juga sekarang cuma bezanya skop kerja kerana kini, saya perlu rancang bagaimana caranya nak ketengahkan restoran yang buat masa ini menawarkan pelbagai menu citarasa tempatan dan barat.
"Tapi walaupun jadi pengurus pemasaran, saya tetap ambil tahu cara penyediaan makanan oleh chef, bukan hanya pandang dan pegang sepinggang makanan yang sudah siap dimasak," katanya,
Menurutnya, selagi ada kudrat dan khidmatnya diperlukan, dia akan terus menabur bakti dalam sektor F&B.
"Industri F&B ini sangat dekat dengan saya malah macam tak percaya pun ada kerana ingatkan dulu yang ada pelajaran tinggi saja boleh naik pangkat.
"Tapi ini yang dinamakan rezeki kerana hasil kerja itu saya dapat sara anak serta isteri.
"Cuma pernah juga terfikir nak berhenti dan jalankan perniagaan sendiri untuk ada lebih banyak masa dengan keluarga namun bukan sekarang," katanya yang giat berusaha membantu syarikat meluaskan lagi cawangan ke lebih banyak lokasi.
Hamdan berkata, selagi diberi kudrat, dia akan terus bekerja walaupun usianya mencecah hampir lima dekad.
"Saya suka gembirakan orang termasuk pelanggan jadi kerjaya ini memang kena dengan jiwa saya.
"Ini kerana saya bukan hanya dapat layan pelanggan malah bantu mereka rancang serta anjurkan majlis untuk orang tersayang.
"Paling seronok tengok pelanggan berkumpul dengan keluarga, contohnya pada Hari Malaysia minggu lalu apabila saya nampak pelanggan pelbagai agama dan kaum datang ke restoran macam satu keluarga Malaysia," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -pengurus-pemasaran |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|