|
Video perkongsian Bonraizu di FB dan TikTok selepas bercerai dengan isteri, kelmarin.
Kuala Lumpur: "Orang fikir kalau bercerai akan gaduh dan tidak boleh menjadi kawan. Bagi saya, perceraian bukan alasan untuk tidak berbaik."
Demikian kata pencipta kandungan yang ingin dikenali sebagai Bonraizu, 43, yang berkongsi mengenai perceraiannya dengan bekas isteri, As, 39, di sebuah mahkamah syariah di Pahang, kelmarin.
Bonraizu berkata, dia dan bekas isteri sudah tidak tinggal bersama sejak awal tahun ini selepas hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, perkahwinan dibina sejak Mei 2015 itu tidak dikurniakan zuriat, namun mereka mengambil anak angkat perempuan pada 2020 yang kini berusia tiga tahun.
"Hubungan dengan isteri sudah dingin dan kurang persefahaman, lewat tahun lalu dan sejak itu, saya tidak berkongsi mengenai isteri dan perhubungan kami. Setiap kali buat sesi siaran langsung di TikTok, ramai tanya mana isteri saya.
"Orang tak tahu kami sudah berjauhan dan tidak tinggal bersama selama tujuh bulan. Dia kerja di Kuala Lumpur dan saya berada di Kuantan. Sepanjang tempoh itu, kami masih berhubung.
"Bila sudah berjauhan, masing-masing berasakan hubungan suami isteri itu dah tak okay. Jadi, kami sepakat untuk mengakhiri hubungan dengan cara baik dan ambil keputusan untuk cerai," katanya kepada Harian Metro.
Perkongsian video Bonraizu itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, malah ada yang menganggap dia mahu meraih perhatian daripada kisah perceraian itu.
"Saya minta izin daripada bekas isteri sebelum buat video itu. Kalau dia dalam keadaan sedih dan tak mengizinkan, takkanlah saya nak buat juga. Tapi, dia okay dan elok juga maklumkan 'followers'.
"Bukan nak tunjuk gembira selepas cerai, tapi perdamaian kami lain. Tiada siapa yang berkahwin inginkan perceraian. Kami pun tak suka perkara ini terjadi, tapi sudah fikir masak-masak, ini keputusan terbaik selepas buat solat istikharah. Apa pun, kami tetap menjadi kawan.
"Ada saja yang akan faham mengenai perpisahan ini, namun tak dinafikan mungkin ada yang akan menilai dan cakap semua benda nak dijadikan kandungan termasuk perceraian," katanya.
Katanya, pada masa sama, dia berharap perkongsian video itu dijadikan tauladan.
"Saya pun penat nak jawab bila orang asyik tanya. Dia pun sama juga. Harapnya dengan video itu terjawab segala persoalan.
"Video itu adalah perkongsian ikhlas. Mana yang baik jadikan pedoman. Allah tidak menjadikan sesuatu tanpa sebab. Jadi, apa yang kami lalui ini juga bersebab.
"Apa pun, hargai perhubungan dan jaga baik-baik. Jangan sebab bercerai menjadikan kehidupan teruk. Kena kuat dan teruskan hidup. Itu tujuan video saya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... api-perdamaian-kami |
|