|
KEADAAN Sufi Syafrina memerlukan bantuan dana perubatan untuk mendapatkan ubat sokongan, risdiplam sebelum ubat Genetik Zolgensma bagi mengelakkan kesihatannya semakin merosot. FOTO ihsan Mohd Shafiq Idrus
Kajang: "Kami terputus bekalan ubat risdiplam hampir tiga minggu yang menyebabkan keadaan kesihatan Sufi Syafrina agak merosot baru-baru ini dan terpaksa ditahan di hospital," kata Mohd Shafiq Idrus.
Mohd Shafiq, 38, adalah bapa kepada Sufi Syafrina berusia lapan bulan yang didiagnosis penyakit Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 dan memerlukan dana untuk membeli ubat Genetik Zolgensma berharga RM9 juta.
Menurutnya, Sufi Syafrina yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur selepas keadaanya agak tenat pada 21 September lalu.
Bagaimanapun katanya, keadaan anaknya kembali baik dan sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam namun bayi itu yang mempunyai sedikit jangkitan kuman di paru-paru perlu dirujuk ke hospital swasta untuk berjumpa pakar.
"Ketika itu kaki, tangan dan muka Sufi Syafrina kebiruan dan paras oksigennya menurun sehingga 30 peratus sebelum kami bawa ke hospital.
"Sebelum ini anak mengambil ubat risdiplam sebagai sokongan kepada kesihatannya supaya tidak merosot tetapi kami terputus bekalan ubat yang berharga RM45,000 kerana masalah kewangan," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Kantan, di sini, kepada Harian Metro.
Katanya, disebabkan itu mereka sekeluarga tidak mampu membeli bekalan ubat berkenaan, malah dana juga masih belum mencukupi untuk anaknya mengambil suntikan spinraza atau zolgensma yang menelan kos sehingga jutaan ringgit.
"Ubat risdiplam perlu diberi setiap hari sebanyak 1.8 mililiter (ml) dan sebotol ubat itu mampu bertahan sehingga 35 hari saja dan kami tiada wang sebanyak itu untuk membeli ubat berkenaan setiap bulan," katanya.
Mohd Shafiq berkata, justeru dia sangat berharap rakyat negara ini daripada pelbagai pihak sudi membantu mereka demi menyelamatkan nyawa Sufi Syafrina yang sangat memerlukan bantuan perubatan berkenaan.
"Setiap sumbangan walaupun hanya RM1 sangat bermakna buat Sufi Syafrina bagi mendapatkan ubatnya," katanya.
Untuk bantuan lanjut boleh menghubungi Mohd Shafiq di 011-59787879 atau sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun bank Maybank atas namanya bernombor 562021680453.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, Sufi Syafrina memerlukan bantuan rakyat negara ini untuk mendapatkan ubat Genetik Zolgensma bagi rawatan penyakitnya yang mana ubat itu perlu diambil sebelum usianya mencecah dua tahun.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bantu-sufi-syafrina |
|