GUA MUSANG: Seekor harimau belang jantan yang sebelum ini dilapor berkeliaran di perkampungan Orang Asli Suku Temiar di Pos Bihai ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) semalam.
Harimau belang jantan diberi nama 'Apek Bihai' itu dianggarkan berusia dua tahun dan berada dalam keadaan sihat.
Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kampung Hak di Pos Bihai pada 24 Julai lalu sebelum siasatan, pemantauan dan pemasangan perangkap di lokasi dilakukan pada 6 Ogos lalu.
"Kelmarin, pihak kami bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menjalankan operasi tangkapan harimau belang.
"Operasi membabitkan 10 anggota dan pemasangan satu unit perangkap tambahan di kawasan aduan serta seekor kambing hidup digunakan sebagai umpan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, harimau belang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.
Harimau Belang ditangkap di Kampung Hak, Pos Bihai semalam. - Foto ihsan PERHILITAN
Mengikut rekod, kes pertama serangan harimau belang di Pos Bihai pada 5 Julai 2021 membabitkan seekor harimau belang betina (Syamilla Bihai) yang menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli.
Harimau Belang itu ditangkap dan ditempatkan di NWRC di Sungkai.
Kes kedua pula pada 7 Januari tahun lalu membabitkan kematian seorang lelaki Orang Asli dengan harimau belang terpaksa ditembak mati kerana cuba menyerang anggota PERHILITAN semasa operasi.