View: 3626|Reply: 0
|
[Terengganu]
Gajah liar 'berkubu' 3 kampung
[Copy link]
|
|
Gajah yang berkeliaran di kawasan kebun penduduk. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Berang: Lebih 1,000 penduduk di tiga kampung di daerah ini bimbang keselamatan mereka terancam susulan sekumpulan gajah yang didakwa berhabitat berhampiran kediaman.
Penduduk Kampung Basung, Pasir Dula dan Padang Setengga mendakwa terdapat 15 gajah liar di penempatan itu dikhuatiri mendatangkan kecelakaan kepada mereka.
Aminah Mamat, 68, dari Kampung Basung berkata, kelibat sekumpulan gajah liar menceroboh kawasan kebun dan kampung sudah lama berlarutan.
Katanya, dia sendiri pernah berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seekor gajah yang menceroboh kebun buahnya yang terletak di belakang rumah.
"Ketika itu saya sedang memungut durian, tiba-tiba nampak gajah berada di hadapan yang jaraknya kira-kira 10 meter sahaja.
"Kerana takut, saya tinggalkan selipar dan lari sekuat hati pulang ke rumah dan seharian saya menggigil takut dengan situasi itu, lihat gajah besar depan mata," katanya.
Jirannya, Ahmad Farish Muda, 23, juga berkongsi pengalaman serupa apabila gajah muncul ketika dia sedang memungut durian pada jam 6.30 pagi.
"Bagaimanapun, saya bertindak menyergah gajah itu untuk menghalaunya. Saya sangka apabila disergah, gajah itu akan lari namun sebaliknya berlaku.
"Gajah itu pula yang mengibas-ngibas telinga dan seperti ingin menghampiri saya.
"Bimbang keselamatan, saya terus berundur sebelum melihat gajah itu makan buah durian yang gugur di dalam kebun," katanya.
AMINAH ketika ditemui di kebun miliknya.
Dakwanya tiga kampung seolah-olah menjadi habitat gajah kerana haiwan liar itu sudah 'berkubu' di kampung itu terlalu lama.
Katanya, pencerobohan gajah bukan hanya merugikan pekebun, malah boleh mengancam nyawa penduduk kerana ia sudah mula menghampiri kawasan kediaman.
Bagi Mohd Khairul Amiruddin Hamid, 31, pekebun 'tawar hati' berkebun disebabkan tanaman banyak rosak angkara gajah.
Katanya, dia mengesan 14 ke 15 gajah liar sering bergerak dalam dua atau tiga kumpulan, dan menceroboh kawasan kampung.
"Sejak gangguan gajah, banyak tanaman kami rosak. Mana nak cari modal jika selalu rosak.
"Contohnya apabila kita tanam pisang, semuanya dimusnahkan gajah tanpa belum kita memungut hasilnya.
"Ada juga pekebun yang terus 'pencen' menanam kerana sama ada takut untuk ke kebun ataupun kebun dirosakkan gajah," katanya yang mendakwa melihat gajah bermalam di kebun.
Mohd Khairul menunjukkan pokok buah-buahan yang dirosakkan gajah liar. FOTO NAZDY HARUN
Yong Ahmad, 50, pula menghadapi situasi dikunjungi gajah di pekarangan rumah apabila membawa pulang beberapa biji durian dari kebunnya.
Katanya, durian itu diletakkan di beranda rumah sebelum dia keluar ke rumah ibunya yang terletak di kampung sama.
"Tiba di rumah, saya terkejut ada tetamu besar. Saya cuba halau dengan berhati-hati kerana bimbang diserang haiwan berkenaan.
"Selain mengambil buah durian, haiwan terbabit turut meninggalkan 'hadiah' iaitu najisnya di atas beranda di rumah saya," katanya.
Menurutnya, walaupun nampak jinak namun sifat haiwan liar tetap tidak boleh diduga dan dia berharap pihak berwajib mengambil langkah segera mengatasi masalah itu.
Katanya, dua tiga tahun lalu hanya satu atau dua ekor gajah liar yang berkeliaran, namun sejak awal tahun kehadiran binatang itu semakin bertambah dan ia menggusarkan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-berkubu-3-kampung |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|