View: 613|Reply: 0
|
[Pahang]
Impian Nooraizah sambung pengajian di UMPSA jadi kenyataan
[Copy link]
|
|
Nooraizah (dua dari kanan) menerima komputer riba daripada Dr Yuserrie. FOTO ihsan UMPSA
Kuantan: Impian Nooraizah Mohd Safie, 18, menyambung pengajian ke universiti menjadi kenyataan apabila mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), semalam.
Lebih bermakna kehadiran Nooraizah bukan saja bersama ibu dan adik-beradik malah dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Dor, Jerteh yang sentiasa mendorong untuk dia menyambung pelajaran turut menemaninya.
Kehadiran mereka disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Ahmad Ziad Sulaiman serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar danAlumni), Prof Dr Mohd Rusllim Mohamed.
Bagi Nooraizah, dia yang ditawarkan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan di UMPSA, tidak pernah menyangka akan dapat melanjutkan pengajian ke universiti disebabkan oleh kekangan kewangan.
"Kehidupan yang sukar dan kewangan keluarga yang terbatas hampir menghentikan langkah dalam mengejar impian akademik.
"Ini kerana keluarga saya hanya bergantung kepada pendapatan ibu (Wan Kamariah Wan Ngah, 48) yang mencari nafkah dengan menoreh getah selepas bapanya, Muhamad Safie Jusoh, 47, meninggal dunia akibat Covid-19 dua tahun lalu," katanya.
Nooraizah anak ketiga daripada enam beradik adalah harapan keluarga dan sering membantu ibunya di rumah dan menguruskan keluarga.
Ini kerana kakak sulungnya insan istimewa cacat pendengaran begitu juga adik bongsu yang menghidap penyakit 'Japanese encephalitis' ketika berusia 10 tahun.
Abangnya pula hanya bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kampung manakala dua adiknya masih lagi bersekolah.
Sementara itu, guru SMK Tok Dor, Mohd Syamri Abd Razak berkata, perjalanan Nooraizah adalah pengalaman yang bermakna kepada guru yang turut membimbing dan membantu pelajar itu keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Nooraizah menempuhi banyak rintangan dan dugaan dalam hidupnya dan kami yakin dia akan menjadi contoh kepada pelajar lain terutama di SMK Tok Dor," katanya.
Dalam pada itu, Dr Yuserrie memberi jaminan nasib pelajar yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan universiti.
"UMPSA berkomitmen sepenuhnya memastikan bahawa setiap pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti di sini.
"Kami akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian mereka tanpa sebarang halangan," katanya.
Nooraizah akan menerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menampung keseluruhan kos yuran pengajian serta elaun wang saku untuk perbelanjaan sepanjang pengajian di UMPSA.
Malah, dia juga turut menerima Bantuan Awal Insentif Pendidikan berjumlah RM1,000 serta bantuan komputer riba sebagai kemudahan dalam pengajian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mpsa-jadi-kenyataan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|