|
Pemborong hanya menjual telur ayam organik dan telur putih selepas kehabisan telur ayam biasa. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Kuala Nerus: Kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam menyebabkan ada pemborong terpaksa menutup premis sementara waktu.
Tinjauan di sebuah premis pemborong di Gong Badak, di sini, mendapati hanya menjual telur organik dan telur ayam putih saja.
Pemborong, Mohd Fauzan Mohd Zain, 31, berkata, dia membuka premisnya tiga atau empat hari seminggu saja kerana ketiadaan bekalan.
Menurutnya, kali terakhir menerima bekalan ayam pada Jumaat lalu sebanyak 90,000 biji iaitu 3,000 papan dan ia sudah habis dijual.
"Malah, sekarang pengguna tidak lagi memilih kerana sebanyak 1,000 papan telur ayam kotor yang kita terima Jumaat lalu juga habis dijual kepada pengguna.
"Sekarang saya tiada pilihan terpaksa menjual telur ayam organik dengan harga RM18.60 sepapan dan telur putih RM13.80 sepapan.
"Kalau tiada bekalan, saya terpaksa menutup premis sementara menunggu stok baharu sampai dari pembekal," katanya yang ditemui di kedainya di sini, hari ini.
Mohd Fauzan berkata, dia kini hanya memperoleh bekalan telur ayam kurang 2,000 papan sedangkan permintaan daripada pelanggan tinggi.
"Saya juga terpaksa mengehadkan penjualan dan mengutamakan pelanggan yang datang membeli ke kedai terlebih dulu.
"Saya juga tidak berani berjanji dengan pelanggan walaupun sudah membuat tempahan lain kerana tidak tahu bila bekalan baharu akan sampai," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fauzan berkata, dia sudah lebih sebulan tidak menjual beras berikutan kenaikan harga selain gula yang sukar untuk diperolehi.
"Sebelum ini selain telur ayam, saya juga menjual beras dan gula. Namun, disebabkan kenaikan harga beras dan gula yang sukar diperoleh membuatkannya tidak lagi menjualnya untuk sementara," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -bekalan-telur-ayam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|