View: 1462|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Murni hati Nuraniza jaga gadis OKU walau diri sendiri susah
[Copy link]
|
|
MOHD Na'im (duduk empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang memerlukan pada Program Jejak Gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Kuala Lumpur: Walaupun hidup dalam kemiskinan, ia sama sekali tidak menghalang seorang wanita berbakti dengan menjaga gadis orang kurang upaya (OKU) atas dasar kemanusiaan.
Nuraniza Nisar, 30, berkata, dia tidak sampai hati melihat gadis berusia 22 tahun itu hidup dalam keadaan terumbang-ambing tanpa jagaan ahli keluarga dan sudah menjaganya sejak tiga tahun lalu.
"Apa yang menyebabkan saya mahu menjaga dia kerana saya tidak mahu dia terus hanyut dalam hubungan dengan teman lelaki, memandangkan dia adalah OKU lembam.
"Memandangkan dia sebatang kara, saya bawa dia tinggal bersama saya, suami serta tiga anak kami berusia antara tiga hingga tujuh tahun di bilik sewa di Chow Kit.
"Saya tahu hidup saya juga susah kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan serta gaji suami RM700 sebulan hasil menjual sayur.
"Namun, saya tekad beri dia tempat tinggal, jaga makan minum dan bagi pakaian kerana kasihan dia asyik pakai baju yang sama," katanya.
Nuraniza antara tiga keluarga asnaf yang didekati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dalam program turun padang, awal pagi tadi.
Program Jejak Gelandangan itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan di Chow Kit, turut menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Bercerita lanjut, Nuraniza berkata, gadis OKU itu memanggilnya 'umi' dan dia melayaninya seperti anak sendiri apatah lagi sikapnya yang kebudak-budakan.
Katanya, gadis itu kini menjual minyak wangi di sekitar ibu negara dengan pendapatan RM30 sehari yang digunakan untuk membayar sewa bilik.
Tindakan murni Nuraniza menjaga gadis OKU seperti anaknya mendapat pujian Mohd Na'im dan menyifatkan sifat saling membantu itu perlu ada dalam masyarakat.
"Walaupun dalam keadaan susah tetapi apabila bertemu gadis berkenaan, beliau mahu menjaganya kerana bimbang dia dipergunakan oleh teman lelaki.
"Alhamdulillah, ini adalah semangat yang kita mahu lihat dalam kalangan masyarakat iaitu walaupun diri sendiri susah tetapi masih ada cakna dan rasa prihatin untuk selamatkan gadis itu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -diri-sendiri-susah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|