|
Anuar Kamaruddin, 47, bersama isterinya Sakinah Jusoh, 43, melihat ikan kelah yang dipelihara sebelum dijual. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Berang: Walaupun berkerjaya namun seorang ibu lima cahaya mata gemar menghabiskan masa hujung minggu atau hari cutinya dengan meredah hutan, sungai dan tasik untuk mencari lubuk ikan kelah merah.
Sakinah Jusoh, 43, dari Kampung Jenagor dekat sini, berkata, meredah sungai dan bermalam berdua bersama suaminya di dalam hutan merupakan rutin mingguannya.
Menurutnya, suaminya, Anuar Kamaruddin, 47, merupakan seorang penjual ikan kelah merah dan untuk mendapatkan bekalan 'raja sungai' itu suaminya terpaksa ke sungai-sungai di seluruh pelusuk negeri.
"Suami saya sebelum ini bekerja sebagai kelasi kapal, namun akibat pandemik Covid-19 menyebabkan semua sektor pekerjaan tidak dapat dijalankan.
"Suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan bermula dari situ, suami saya menumpukan sepenuh masa dengan menjual ikan kelah secara dalam talian.
"Melihat kepada permintaan yang tinggi, suami terpaksa ke sungai untuk mencari bekalan ikan kelah dan bermula dari situ menjadi rutin buat saya untuk mengikut suami ke sungai mencari ikan berkenaan," katanya yang juga seorang kakitangan sebuah syarikat swasta.
Menurutnya, cuti hujung minggu atau hari-hari cuti dia akan mengajak suaminya untuk ke lubuk-lubuk ikan kelah bagi mencari raja sungai berkenaan.
Katanya, rutin itu dilakukan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu dan kerja menangkap ikan di kawasan lubuk dilakukan bersama-sama suaminya.
Sakinah berkata, lubuk-lubuk kelah ibarat tempat 'healing' buat dirinya kerana saban minggu dia akan ke sungai di seluruh pelusuk Terengganu untuk mencari ikan kelah.
Anuar berkata, minatnya mencari ikan kelah sudah lama namun ia hanya sebagai hobi dan selepas berhenti kerja sebagai kelasi dia mengambil keputusan untuk menjadikan pekerjaan menjual ikan kelah sebagai mata pencariannya.
"Ikan yang dicari akan dikuarantin sebelum dijual dan harga ikan kelah merah dijual mengikut kilogram (kg) dengan harga RM550 hingga RM2,000 sekilogram bagi yang masih hidup.
"Sebulan hanya empat ekor saja yang dijual dengan ukuran ikan di bawah kira-kira 50 sentimeter, selain kelah hidup saya juga menjual ikan kelah yang sudah dibekukan.
"Alhamdulillah, permintaan terhadap ikan ini sentiasa ada dan sebulan saya mampu meraih pendapatan hingga RM5,000," katanya yang mempunyai cahaya mata berusia enam hingga 17 tahun.
Menurutnya, dia menggunakan medium media sosial untuk memasarkan ikan-ikan kelah berkenaan dan sepanjang berkecimpung dalam aktiviti itu dan dia pernah menangkap ikan kelah seberat 11 kg.
Katanya, dia bersyukur kerana isterinya turut mempunyai minat yang sama dan biasanya isterinya akan mengajaknya untuk ke sungai mencari raja sungai itu.
"Saya hanya berdua ke sungai dan biasanya akan bermalam satu atau dua malam bergantung kepada cuti isteri namun biasanya hanya satu malam memandangkan saya dan isteri ke sungai setiap hujung minggu.
"Tak sangka dari hobi kini bertukar menjadi pekerjaan hakiki dan mampu menjana pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pemburu-kelah-merah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|