View: 2862|Reply: 0
|
[Selangor]
Bau bangkai ikan boleh dihidu sejauh 400 meter
[Copy link]
|
|
Keadaan saluran longkang yang dipenuhi ribuan sisa atau bangkai hidupan laut. FOTO: Saddam Yusoff
KUALA SELANGOR – Sikap lepas tangan sebuah kilang memproses makanan laut sejuk beku di Taman Industri Alam Jaya di sini, membuang sisa dalam longkang sehingga menyebabkan pencemaran bau sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila diserbu hari.
Operasi bermula pukul 10.30 pagi itu mendapati bau busuk bangkai makanan laut termasuk ikan tersebut dapat dihidu sejauh 400 meter.
Situasi pencemaran juga menyebabkan kacau ganggu kepada lebih 500 penduduk berhampiran dengan bau busuk dan amat meloyakan.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Jefriee Abd. Manaf berkata, serbuan itu hasil aduan penduduk dengan punca pencemaran akibat bahan itu boleh dilihat sepanjang laluan longkang sehingga kolam takungan yang jaraknya satu kilometer dari kilang tersebut.
Katanya, pekerja kilang didapati membuang sisa pemprosesan seperti ikan, udang dan sotong ke dalam longkang tanpa melalui sistem rawatan yang betul.
“Itu menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan perindustrian dan kawasan perumahan Taman Alam Jaya yang terletak kira-kira 400m.
“Semakan mendapati kilang itu mempunyai lesen perniagaan sah dengan produknya untuk pasaran dalam negeri ini,” katanya ketika ditemui pada serbuan tersebut, hari ini.
Operasi tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Hasil pemerhatian Kosmo! mendapati kira-kira 10 pekerja berada di kilang tersebut semasa serbuan dengan ribuan bangkai atau sisa hidupan laut memenuhi kolam takungan.
Sehubungan itu, Jefriee menegaskan, empat notis dan dua kompaun bernilai keseluruhan RM2,000 mengikut Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan 2005/Jalan, Parit dan Bangunan 2005 telah dikeluarkan kepada pemilik kilang
“MPKS juga menyita kilang tersebut serta-merta dengan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Saari Hasyim, 63, berkata, lega apabila ‘kesengsaraan’ mereka akhirnya berakhir selepas tiga bulan menghidu bau busuk.
“Bau lebih kuat pada waktu malam sehingga menganggu ketenteraman termasuk apabila menunaikan solat di masjid,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... u-sejauh-400-meter/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|