Petaling Jaya: Dua pereka fesyen, Razman dan Razmi cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, kedua-duanya yang dikenali sebagai pereka fesyen duo, Razman Razmi yang juga pereka fesyen menghasilkan busana usahawan sensasi, Datuk Seri Vida untuk acara itu dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Kedua-duanya yang mengalami luka di pipi kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis.
Difahamkan, insiden itu dipercayai berpunca daripada masalah peribadi di antara mereka.
Sementara itu, Vida berkata, dia amat terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, Razman dan Razmi mengiringinya ketika berjalan di karpet merah sebelum jurugambar terbabit tiba-tiba menyerang pereka fesyen itu.
"Saya memang terkejut sangat dengan insiden itu. Kepala saya jadi sakit sebab saya tak boleh tengok benda macam itu berlaku depan mata. Saya ingatkan mula-mula itu hanya gurauan.
"Lagipun, saya memang kenal mereka dan takkanlah macam itu. Ia juga berlaku sangat pantas. Saya tak boleh tahan, tengok luka di muka berdarah-darah.
"Saya juga tak faham. Kenapa tak boleh berbincang jika ada masalah dan kenapa pada saat 'event' (acara) begini, tengah orang ramai dan tak takut ke kena hukum benda-benda macam ini?
"Pukul depan orang ramai. Kalau ada masalah sekalipun, banyak cara boleh 'settle' (selesaikan) tapi bukan macam ini. Menganiaya orang," katanya.
Ditanya juga mengenai pereka fesyen itu yang dikenalinya, Vida berkata, dia tidak pernah mengetahui dia mempunyai masalah kewangan yang didakwa hutang adalah puncanya.
"Kalau mengenai mereka ini, setahu saya tak adalah terkait dengan hutang. Tak ada pun. Dia kalau buat apa-apa, biasanya nak selesaikan kerja dan kalau bercerita fasal orang lain pun, tidak ada. Mereka berdua saja," katanya.
Vida mengakui dia trauma melihat kejadian sebegitu di depan matanya.
"Tak boleh nak bayangkan orang kena pukul itu, mereka yang kita kenal, duduk dengan kita. Memang tak boleh nak bayangkan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, kes masih dalam siasatan.
Susulan kejadian itu, acara anugerah terbabit tetap diteruskan walaupun insiden itu menimbulkan kekecohan di depan dewan acara.
Harian Metro