View: 2522|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
DBKL tutup serta merta 44 premis niaga warga asing
[Copy link]
|
|
Anggota penguatkuasa DBKL memasang pelekat terhadap sebuah premis yang disita dalam operasi semalam.
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta merta 44 premis niaga kendalian warga asing serta mengeluarkan 51 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sekitar Jalan Kenanga di ibu kota, tengah hari semalam.
Serbuan dibuat dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Operasi Bersepadu (TEBAH) Terhadap Premis Yang Dikendalikan Warga Asing Siri 5 Tahun 2023.
DBKL dalam kenyataannya, memaklumkan dalam serbuan kali ini, pihaknya menutup serta merta 44 premis dikendalikan warga asing mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Selain itu, DBKL turut mengeluarkan 51 notis kompaun membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah," katanya.
DBKL berkata, sebanyak 217 aktiviti premis perniagaan diperiksa dalam pemeriksaan bersepadu kali ini.
Katanya, ia membabitkan kedai menjual tudung, kain, pakaian, kasut, beg, aksesori telefon bimbit, peralatan komputer, rokok elektronik (vape) dan pelbagai lagi.
"Seramai 85 orang pekerja dan pengendali premis perniagaan telah diperiksa terutamanya membabitkan warga negara asing.
"Seramai 29 pekerja warga asing dari Bangladesh (22), Indonesia (tiga), Pakistan (tiga) dan Myanmar (satu) ditahan JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Selain itu, katanya, SSM turut mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sebanyak 64 notis dan Akta Syarikat 2016 (28 notis) ke atas pemilik perniagaan dan syarikat semasa pemeriksaan bersepadu dijalankan.
JPN pula katanya, membuat 42 semakan dan teguran terhadap individu atau pengendali perniagaan berkaitan penggunaan Kad Pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.
"Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa di semua lokasi tumpuan (hotspot) yang lain membabitkan aktiviti perniagaan dikendalikan warga asing," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... s-niaga-warga-asing |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|