Onn Hafiz Ghazi mengiringi Fadillah Yusof meninjau meninjau operasi Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, Johor.
JOHOR BAHRU – Laluan pintas yang digunakan pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan ditutup.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tindakan tersebut diambil atas faktor keselamatan berikutan terdapat laporan kemalangan berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan bas henti-henti (shuttle bus) pejalan kaki yang tinggal berdekatan BSI.
“Lorong tikus (laluan pintas) untuk masuk ke BSI itu sedang dikaji dan ada cadangan, buat shutle bus untuk jangka masa pendek supaya mereka yang datang dari Stulang dan sebagainya yang berjalan kaki masuk ke CIQ,”katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau operasi CIQ di BSI.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri berharap ada berita baik untuk Johor pada bajet Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
“Segala permohonan yang diperlukan oleh Johor telah dibawa kepada Perdana Menteri, kita akan tunggu pengumuman itu. Saya yakin ada berita baik untuk negeri Johor,” katanya.
https://malaysiagazette.com/2023/10/11/laluan-pintas-di-ciq-akan-ditutup-onn-hafiz/ |