|
JENAYAH siber untuk tempoh sembilan bulan bermula Januari hingga September lalu mencatatkan kerugian RM31.14 juta.
KUALA LUMPUR: Jenayah penipuan menunjukkan trend peningkatan apabila sebanyak RM1.2 bilion kerugian direkodkan dalam tempoh sembilan bulan bermula Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu membabitkan jenayah komersial iaitu sebanyak 31,388 kes direkodkan pada 2021 diikuti 30,536 kes (2022) manakala kira-kira 30,992 kes dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
RAMLI MOHAMED YOOSUF
Menurutnya, bagi jenayah berunsur fraud (penipuan), setakat September tahun ini telah mencatatkan kerugian RM1.2 bilion manakala kes berbentuk pecah amanah jenayah dengan kerugian kira-kira RM310.2 juta.
“Bagi jenayah siber untuk tempoh sama tahun ini mencatatkan kerugian RM31.14 juta, peminjam wang tidak berlesen (along) merekodkan kerugian RM4.75 juta, pemalsuan (RM4.62 juta), penyelewengan harta (2.1 juta), pemalsuan wang (RM282,692) dan lain-lain kes (RM646,346.96).
“Kes e-dagang yang menggunakan medium Internet dan sebagainya bagi tahun ini setakat September 8,868 kes dan jangkaan akan meningkat ke 9,000 atau 10,000 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti-Scam JSJK 2023, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Ramli berkata, sebanyak 3,746 kes pelaburan tidak wujud direkodkan diikuti pinjaman tidak wujud (3,196); penipuan panggilan (2,417), Love Scam (733), penipuan perniagaan (33) dan SMS scam (227).
Jelas beliau, apa-apa sahaja yang dipaparkan di media sosial termasuk bukti transaksi dengan menunjukkan bank slip atau keuntungan itu adalah satu penipuan bagi mengaburi mata orang ramai.
“Pelaburan tidak wujud ini pula janganlah mudah terpengaruh konon akan mendapat keuntungan yang ditawarkan dalam Telegram, WhatsApp kumpulan sekolah sebagai contoh labur RM600 dapat pulangan RM3,000 hingga RM6,000 sedangkan jika ikut logik jika betul ada pelaburan seperti itu, tidak perlu ada sistem perbankan.
“Selain itu, love scam ini masih ramai yang menjadi mangsa kerana hanya dengan kata-kata manis yang disalurkan melalui Facebook (FB) hingga ada yang kerugian jutaan ringgit.
“Betapa mudahnya mereka ini ditipu dan kita bukan hendak bersikap sinis tetapi inilah kenyataannya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program pagi ini, katanya, ia adalah satu pengisian program yang diadakan sebagai objektif menyebar luas mengenai jenayah komersial yang semakin meningkat.
“Kita tidak akan berputus asa menyampaikan maklumat supaya ia sampai kepada orang awam.
“Itu tujuan pada hari ini yang membabitkan 65 rider akan bermula dari sini ke Cameron Highland tetapi turut singgah di empat lokasi bagi menyampaikan berkenaan anti scam,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... -direkod-tahun-ini/ |
|