View: 2564|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
'Body Shaming': Mahkamah kekal keputusan Eira Aziera bayar ganti rugi RM100,000
[Copy link]
|
|
GAMBAR hiasan
Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pempengaruh, Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 kepada Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek yang menjadi mangsa 'body shaming' (penghinaan bentuk fizikal) pada Ogos 2020.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.
Ahmad Zaidi berkata, pihaknya bersetuju keputusan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf kerana perkataan diluahkan pihak defendan adalah fitnah dan jelas tanpa memerlukan pakar untuk mengesahkannya.
Katanya, tiada merit dalam rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal, 39, sebagai defendan dan tidak dibuktikan bahawa Mahkamah Tinggi membuat kesilapan.
"Kami dapati jumlah 'award' (ganti rugi diperintahkan) oleh Mahkamah Tinggi adalah munasabah, tidak berlebihan atau tidak kurang. Mahkamah Tinggi sudah mengambil kira mengenai 'body shaming' dan buli siber.
"Rayuan balas (untuk ganti rugi sebanyak RM2 juta) oleh pihak plaintif (Suharnizan) berhubung kuantum itu (RM100,000) tiada meritnya dan ia ditolak, kuantum itu adalah dikekalkan," katanya.
Terdahulu, peguam Yahaya Ahmad yang mewakili Eira Aziera berkata, semua tuntutan oleh Suharnizan terhadap anak guam bersifat 'hearsay' atau dengar cakap.
"Kami hairan kenapa suami kepada plaintif tidak dipanggil (memberi keterangan), dia saksi yang penting kerana mendengar video selama satu jam itu (mengandungi kenyataan dibuat anak guam terhadap plaintif).
"Kalau gagal memanggil (suami plaintif), bermakna gagal membuktikan kes itu," katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Suharnizan, Mohd Rasheed Hassan berkata, tiada keperluan memanggil suami anak guam untuk memberi keterangan.
"Defendan mengakui membuat video itu, untuk memanggil pihak lain adalah membuang masa.
"Kita sudah transkrip video itu ke dalam penyataan tuntutan dan menyerahkannya kepada mahkamah," katanya.
Pada 30 Mei 2022, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, memutuskan pembayaran berkenaan selepas perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Eira Aziera untuk menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat dalam semua akaun media sosialnya dan perlu dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.
Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan bentuk fizikal oleh pempengaruh media sosial itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ganti-rugi-rm100000 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|