View: 2885|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Hukuman denda atau penjara atas kesalahan cermin gelap agak keterlaluan
[Copy link]
|
|
FOTO HIASAN
Kuala Lumpur: Hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atas kesalahan pemasangan cermin gelap disifatkan agak keterlaluan dan menyukarkan rakyat terutama dalam situasi peningkatan kos sara hidup.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dan bantahan berhubung isu itu.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan disaran mengkaji semula pelaksanaan hukuman kesalahan pemasangan cermin gelap yang lebih efisien.
"Kita bukan membantah hukuman dikenakan kepada pesalah tetapi janganlah terlalu melampau sehingga dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
"Pada pendapat saya hukuman penjara itu juga keterlaluan kerana ia bukan kesalahan kategori jenayah sedangkan isu lebih serius berkaitan jenayah ekonomi, penyeludupan dan sindiket pendatang asing tanpa izin (Pati) pun ada yang tak dipenjarakan.
"Hukuman itu perlu dilihat semula dan ini berdasarkan situasi ekonomi dan bebanan komuniti rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup dengan kenaikan harga barang yang menjadi isu utama dan sebagainya ketika ini," katanya di sini, hari ini.
Katanya, sepatutnya tindakan juga perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak hanya menghukum pemandu atau pemilik kenderaan saja, sebaliknya hukuman juga perlu dikenakan kepada premis cermin gelap.
"Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada pengusaha premis aksesori dan pemasangan cermin gelap kenderaan yang menawarkan produk yang melanggar syarat cermin gelap kenderaan seperti digariskan oleh kerajaan daripada menghukum rakyat saja.
"Justeru dalam perkara ini kerajaan perlu terus mendidik rakyat dengan mekanisme yang lebih sesuai dan adil berbanding menggunakan kaedah hukuman penjara," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, kata JPJ, selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ap-agak-keterlaluan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|