|
UTM Skudai, Johor
Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Pertama Negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dengan peruntukan awal bernilai RM20 juta.
Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, negara perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.
Menurutnya, kejayaan inisiatif ini dapat dilaksanakan kerana terdapatnya jumlah pakar yang sedia ada dalam bidang kecerdasan buatan merentasi pusat pengajian di UTM melebihi 100 orang.
"Tenaga pakar ini terdiri daripada ahli akademik dari Fakulti Komputeran, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Fakulti Pengurusan dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.
"Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) ini akan bercorak multi-disiplin yang mampu menjadikan kecerdasan buatan sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang, antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.
"UTM menzahirkan penghargaan dan amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah untuk bersama membangunkan negara sepertimana yang dihasratkan dalam kerangka Ekonomi Malaysia Madani.
"UTM juga optimis bahawa fakulti ini berupaya memajukan peradaban manusia mengikut acuan Malaysia Madani,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fauzi, penubuhan Fakulti AI itu juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri sempena pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.
Katanya, penumpuan khusus yang diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik adalah bertepatan dalam meyakinkan pelabur serta industri.
"UTM juga merupakan universiti awam yang mempelopori bidang ini dengan meluas. Kami juga mempunyai pusat kecemerlangan seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular IJN-UTM dan Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn).
"Selain itu, UTM turut menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan kecerdasan buatan seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi perubatan & kesihatan dan perisian pintar.
"Contoh produk yang dihasilkan adalah seperti ARTECH INSPECTO (Robot pintar berteknologi tinggi bagi melakukan pemeriksaan dan pembersihan di ruang yang sempit); A2TECH X3CATOR (robot pintar untuk pencarian tanpa wayar); aplikasi DIANA Hologram Pintar untuk keselamatan digital dan pembantu sosial pintar; dan lain-lain perisian yang telah digunakan oleh industri," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-ai-pertama-negara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|