|
Johor Bahru : Polis mengesahkan pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di sini, menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.10 petang memaklumkan ancaman itu.
"Pihak pengurusan memaklumkan mereka menerima panggilan itu pada 5.38 petang.
"Pemanggil mengaku dari luar negara dan mendakwa meletakkan bom di beberapa kawasan sekitar pusat beli belah dan hotel berkenaan" katanya ketika sidang media di sekitar lokasi kejadian di sini, hari ini.
Raub berkata, susulan panggilan, polis membuat pengesanan bom seperti yang didakwa.
Pada masa sama, katanya, semua pengunjung dan pekerja di pusat beli-belah dan penghuni hotel diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan.
"Sehingga jam 9 malam, polis mengesahkan kawasan tempat letak kereta pusat beli belah adalah selamat dan tidak menemui sebarang perkara seperti didakwa.
"Pada 9.15 malam, kita benarkan pemilik mengambil semula kenderaan mereka dan mengosongkan tempat letak kenderaan.
"Sepanjang insiden ini, anggaran 9,000 pengunjung dan pekerja berada di lokasi dengan 4,000 kenderaan serta 892 penghuni hotel yang menggunakan 463 bilik," katanya.
ANTARA kotak ditemui di sekitar kawasan pusat beli-belah yang diperiksa pihak polis. FOTO Ihsan Polis
Menurutnya, setakat jam 11 malam, Unit Pemusnah Bom mengesahkan 90 peratus kerja pengesanan sudah selesai dilaksanakan.
"Kita masih menunggu laporan penuh daripada Unit Pemusnah Bom bersama Unit K9, selepas itu barulah kita buat keputusan berhubung pengoperasian bangunan itu," katanya.
Katanya, polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lokasi panggilan dibuat serta identiti pemanggil terbabit.
Dalam operasi berkenaan, seramai 12 pegawai kanan dan 60 pegawai rendah polis ditugaskan di lokasi kejadian selain dibantu dua Unit K9 polis dan 24 pegawai serta anggota bomba bersama tiga jentera.
Turut ditugaskan, unit pemusnah bom dengan tiga pegawai serta 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Pusat beli-belah berkenaan mempunyai enam tingkat, manakala hotel dengan 28 tingkat.
Raub turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu dan tidak pasti yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -lelaki-warga-asing |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|