PESAWAT amfibia jenis Bombardier CL-415 milik apmm ) diterbangkan ke lokasi kebakaran hutan di Jalan Sebana Cove-Punggai, Pengerang, bagi membantu bomba menjalankan operasi memadamkan kebakaran. FOTO Ihsan APMM
Kota Tinggi: Pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 diterbangkan ke lokasi kebakaran hutan belukar di Jalan Sebana Cove-Punggai, Pengerang di sini, hari ini, bagi membantu operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran.
Pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak bagi kerja semburan air ke kawasan terjejas.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bantuan diberikan selepas unit dron JBPM membuat pemantauan udara selama tiga hari dan mendapati keluasan kebakaran semakin merebak dari anggaran keluasan dua hektar kepada 32 hektar.
"APMM menerima permohonan bantuan dari Pejabat Daerah Kota Tinggi sebelum mengatur gerak pesawat berkenaan ke lokasi kejadian dan melakukan 'water bombing'.
"Pesawat itu mampu membawa sehingga 6,000 liter air.
"Bagi operasi hari ini, pesawat berjaya membuat 18 kali 'water bombing' dan kerja pemadaman akan bersambung esok sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan," katanya ketika melakukan pemantauan di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Hazlina Jalil.
Nurul Hizam menasihati orang ramai supaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka khususnya berhampiran kawasan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan hutan di kawasan Sebana Cove-Punggai terbakar petang kelmarin.
Beberapa jentera JBPM dari Sebana Cove, Sungai Rengit dan Kota Tinggi dengan kekuatan 18 anggota serta pegawai dikerahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
|