CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1014|Reply: 0

[Johor] Mangsa dera minum air tandas, makan sisa makanan sewaktu dikurung

[Copy link]
Post time 18-10-2023 06:27 PM | Show all posts |Read mode

ANA terkejut melihat keadaan anaknya yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akibat disyaki didera bapa kandung dan teman wanita bekas suaminya itu.

JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak lelakinya yang menjadi mangsa dera bapa kandungnya sendiri terpaksa minum air dalam tandas dan dibiarkan kelaparan setiap kali dikurung berjam-jam dalam bilik air.

M. Ana, 34, berkata, penderitaan anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Navin, 7, diceritakan kepadanya selepas diselamatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor pada Jumaat lalu.

Wanita itu yang berpeluang bertemu anaknya pada Sabtu lalu selepas dipertemukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terkejut melihat keadaan Navin malah seakan tidak percaya budak lelaki tersebut adalah anaknya.

“Saya amat terkilan melihat keadaan Navin dan hampir tidak mengenalinya kerana keadaan fizikalnya itu tidak sama seperti sebelum ini.

“Ketika Navin tinggal bersama saya kira-kira dua tahun lalu, berat badannya lebih 60 kilogram dan dia juga merupakan seorang yang ceria serta peramah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ana yang berniaga nasi lemak dan tinggal di Kuala Selangor, Selangor berkata, semasa bertemu Navin, anaknya itu menceritakan kerap meminum air tandas ketika kelaparan dan kadang-kala hanya menjamah sisa makanan di rumah mereka.

Menurutnya, Navin juga menyatakan terpaksa menahan kesakitan apabila sengaja dipukul serta dicucuh api oleh teman wanita bekas suaminya dan tiada tempat untuk mengadu nasib.

“Saya tidak melihat perbuatan mereka namun siapa saja pelaku, saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap dibawa ke muka pengadilan. Saya tidak dapat membayangkan nasib Navin sekiranya dia tidak diselamatkan polis, mungkin kami kehilangannya,” katanya.

Dia sebak setiap kali terbayangkan cerita anaknya yang terpaksa menanggung kesakitan, tekanan dan penderitaan sejak enam bulan lalu semasa di bawah jagaan bekas suaminya.

“Saya pernah membuat laporan tujuh kali termasuk di Banting, Selangor kerana suami tidak membenarkan saya bertemu Navin sejak lebih setahun lalu. Dia mungkin menjadi mangsa penderaan dalam tempoh itu,” katanya.

Ana berkata, Navin menyatakan mahu pulang ke rumah bersamanya namun memujuknya supaya bersabar kerana ketika ini masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sehingga keadaannya beransur baik.

“Saya bersyukur Navin selamat, terima kasih kepada NGO terbabit, pihak polis dan komuniti setempat. Apabila pulang nanti saya akan daftarkannya ke sekolah kerana di sini dia tidak bersekolah,” ujarnya yang mempunyai dua anak lain berusia 13 dan 15 tahun hasil perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... n-sewaktu-dikurung/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 12:41 PM GMT+8 , Processed in 0.042613 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list