CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 612|Reply: 0

[Terengganu] Peniaga R&R Perasing terjejas gara-gara viral diganggu hantu

[Copy link]
Post time 19-10-2023 03:38 PM | Show all posts |Read mode

KEADAAN R&R Perasing, Kemaman, lengang selepas tular di laman sosial seorang pemandu lori diganggu hantu ketika melalui kawasan itu pada dua minggu lalu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN




KEMAMAN: Peniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, dekat sini, meminta orang ramai berhenti mengaitkan isu mistik dan dakwaan kononnya hentian tersebut berhantu seperti yang tular di laman sosial sejak seminggu lalu.

Rata-rata peniaga yang ditemui berkata, perniagaan 20 pengusaha makanan, pakaian dan produk industri kecil dan sederhana di R&R itu terjejas teruk selepas tular dalam laman sosial mengenai seorang pemandu lori yang diganggu hantu.

Tinjauan di sekitar R&R tersebut mendapati kawasan tersebut kini sepi kurang dikunjungi pelanggan menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian.

Salah seorang peniaga minuman, Nurul Farihin Farhana Mat Noor, 27, berkata, dia hanya memperoleh hasil jualan kira-kira RM100 sehari berbanding lebih RM400 sehari sebelum ini.

“Sebelum ini perniagaan kami merosot sejak pandemik Covid-19. Baru sahaja perniagaan kami nak pulih, timbul pula isu hantu di R&R ini.

“Dah 10 tahun saya berniaga di sini, setakat ini, tak pernah terjadi apa-apa. Bila isu ini timbul, orang mula takut nak singgah ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Bagi peniaga makanan, Zuraida Mohd. Ali, 45, berkata, dia terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk membayar gaji tiga pekerjanya berikutan tidak mampu menampung kos operasi.

“Sebelum ini, kalau hari cuti saya boleh dapat jualan hingga RM1,000 sehari, namun, sejak beberapa minggu ini, nak dapat RM200 pun susah.

“Saya terpaksa gunakan duit simpanan sendiri untuk bayar gaji pekerja sebab pekerja pun ada keluarga sendiri untuk disara,” katanya yang berharap orang ramai berhenti menyebarkan isu tersebut.

Seorang lagi pekerja, Nor Shazliana Mamat, 22, berkata, sepanjang lebih empat tahun dia bekerja di hentian tersebut, tiada sebarang kejadian tidak diingi berlaku.

“Kita tak nafikan memang makhluk halus wujud, namun, setakat saya kerja di sini tak pernah lagi dengar pengunjung diganggu makhluk halus.

“Saya harap sangat cerita tahyol begini dihentikan. Kami bimbang kalau berterusan begini, mungkin ada peniaga yang gulung tikar,” katanya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial mengenai  seorang pemandu lori menceritakan pengalaman diganggu makhluk halus ketika memandu seorang diri.

Pemandu itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu ketika melalui  kawasan berhampiran R&R Perasing, bagaimanapun dia tidak singgah di perhentian tersebut. -UTUSAN


https://www.utusan.com.my/nasion ... ral-diganggu-hantu/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2025 04:13 PM GMT+8 , Processed in 0.064665 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list