Beliau berkata, keadaan sekarang benar-benar sangat teruk, tidak selamat dengan 40 bayi mengalami muntah, cirit-birit, demam dan sakit perut, iaitu sakit berkaitan pencemaran air.
Hospital itu dipenuhi dengan ratusan mangsa cedera akibat pengeboman yang dikejarkan ke pusat perubatan itu, dan pada masa sama, ribuan mangsa lagi berpindah mencari perlindungan dan keselamatan di dalam kawasannya.
Dr Safiya, pakar perubatan utama untuk organisasi tidak bermotifkan keuntungan, MedGlobal, berkata, kakitangan perubatan sedang bergelut untuk menangani peningkatan jumlah mangsa maut.
"Hari ini, 30 mangsa daripada satu keluarga dibawa ke hospital kami dan menyedihkan semuanya meninggal dunia.
"Mangsa sekeluarga itu membabitkan bayi, bapa, ibu, nenek, datuk, semua (ahli keluarga) yang tinggal dalam satu rumah.
"Mereka ditarik keluar dari bawah sebuah rumah yang musnah dalam pengeboman. Ia terlalu ramai, sukar dan memeritkan untuk kami kendalikan serentak," katanya.
Beliau berkata, beberapa rakan sekerjanya terbunuh apabila serangan udara memusnahkan kediaman mereka selepas Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas pada 7 Oktober lalu.
"Ada pengeboman sepanjang masa, malah sekarang apabila saya bercakap dengan anda, ada pengeboman.
"Kami bekerja di bawah tekanan yang teruk. Kami bekerja dalam ketakutan," kata Dr Safiya.
Kemudahan rawatan rapi hospital dibanjiri pesakit yang mengalami kecederaan akibat letupan pengeboman rejim Zionis Israel.
Beliau berkata, dengan kemasukan pesakit baharu bertali-arus disebabkan serangan udara Israel itu dan penjagaan kritikal yang diperlukan untuk mangsa yang terselamat, warga hospital dan mangsa itu tidak akan berpindah walaupun Israel memberi amaran kepada semua penduduk untuk berpindah ke selatan.
"Ia akan membunuh pesakit kami, mereka tidak boleh diberitahu supaya meninggalkan hospital. Lagipun hospital di mana pula kami boleh memindahkan pesakit?
"Kami mempunyai enam pesakit neonatal di Unit Rawatan Rapi (ICU) pediatrik, ini adalah kanak-kanak yang disambungkan ke mesin oksigen.
"Kami mempunyai lebih ramai pesakit di bilik kecemasan pediatrik kami. Justeru kami memang tidak boleh berpindah," katanya.
Pada hari ke-13 perang Palestin-Israel, Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan udara Israel menghalang usaha untuk petugas perubatan mencapai mereka yang cedera, ditambah kemusnahan jalan menuju ke hospital.