View: 1804|Reply: 0
|
[Johor]
2 rakan terlepas tali gantung
[Copy link]
|
|
Dua rakan, Effy Sharaffi Muszali, 28, (kiri, cermin mata) dan Indra Ironi Nasrun, 27, (kanan) terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar 455 gram ganja, tiga tahun lalu. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Johor Bahru: Dua rakan terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar 455 gram ganja, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap barang kes yang ditemui di bahagian bawah stereng sebuah kereta itu," katanya.
Effy Sharaffi dan Indra Ironi sebelum ini didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat kasar 455 gram di tempat letak kereta tingkat dua, Skudai Parade di sini, kira-kira 6 petang, 16 Julai 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Effy Sharaffi yang turut didakwa memiliki kanabis seberat 10.14 gram pada jam 6.15 petang di lokasi dan hari yang sama dihukum penjara tiga tahun dari tarikh dia ditangkap iaitu 16 Julai 2020.
Terdahulu, lelaki itu diarahkan untuk membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah sebaik dipanggil untuk membela diri sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala peguam Nur Helmi A Halim mewakili Effy Sharaffi dan peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib serta Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri mewakili Indra Ironi.
Seramai lapan saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang bermula 3 Julai lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rlepas-tali-gantung |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|