|
Peminat bintang bola sepak Liverpool dari Colombia, Luis Diaz melihat mural pemain itu di Barrancas, wilayah Guajira, Colombia. Ibu Diaz diselamatkan dua hari lalu selepas pihak berkuasa melaporkan penculikan ibu bapanya di Guajira, kata Presiden Gustavo Petro. – Foto AFP
LIVERPOOL, England: Penyerang Liverpool, Luis Diaz diketepikan daripada skuad menentang Nottingham Forest dalam Liga Perdana Inggeris malam tadi selepas ibu bapanya diculik di Colombia, dengan pengurus Jurgen Klopp berkata setiap orang di kelab itu berasa bimbang.
Presiden Colombia, Gustavo Petro mendedahkan ibu Diaz berjaya diselamatkan selepas mereka diculik di utara Colombia, namun pegawai masih mencari bapanya yang hilang.
"Kami terpaksa membuat pertukaran saat akhir kerana situasi peribadi membabitkan Luis Diaz," kata Klopp bagi pertembungan di Anfield malam tadi.
"Ia satu situasi membimbangkan buat kami dan ia malam yang sukar. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, ia satu pengalaman baharu yang saya tidak perlukan."
Terdahulu, Liverpool mengeluarkan kenyataan menyatakan mereka sedar mengenai situasi membabitkan keluarga Diaz dan fokus untuk menjaga kebajikan pemain itu.
Pemain Liverpool, Diogo Jota memperagakan jersi Luis Diaz sebagai tanda sokongan selepas menjaringkan gol pertama menentang Nottingham Forest di Anfield, Liverpool malam tadi. – Foto REUTERS
Diaz, yang beraksi 43 kali bersama Colombia, diikat Liverpool pada Januari tahun lalu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai 45 juta euro (RM226.9 juta). Dia menjaringkan tiga gol buat Liverpool dalam semua pertandingan musim ini.
Peguam Negara Colombia, Francisco Barbosa berkata semalam, bapa Diaz mungkin sudah dibawa ke Venezuela dan beliau mengarahkan siasatan untuk mengetahui motif penculikan dan menjejaki mereka yang bertanggungjawab.
"Kami mempunyai maklumat beliau mungkin sudah berada di Venezuela. Jika beliau menyeberangi sempadan dan berada di Venezuela, kami perlu meminta Presiden (Colombia) Gustavo Petro untuk membantu kami membebaskan bapa Luis Diaz," kata Barbosa kepada pemberita.
Polis Colombia juga mengumumkan hadiah wang ganjaran AS$48,500 (RM231,755) bagi sebarang maklumat yang menjurus kepada pembebasannya. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... selepas-malam-sukar |
|