View: 1168|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Dua kes baharu cacar monyet dikesan
[Copy link]
|
|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan dua kes baharu jangkitan mpox yang juga dikenali cacar monyet membabitkan dua lelaki warga tempatan.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan mpox di negara ini meningkat kepada empat kes.
Menurutnya, jangkitan ketiga mpox disahkan pada 21 Oktober lalu selepas dia menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober lalu.
Katanya, jangkitan keempat adalah kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Oktober lalu, selain menunjukkan gejala sama pada 6 Oktober lalu.
"Kedua-dua kes sedang menjalani isolasi (pengasingan) di rumah dan berada dalam kesihatan stabil. Mereka menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.
"Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat sudah dikenal pasti dan tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox. Status kesihatan mereka juga sedang dipantau," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata, jangkitan mpox berlaku melalui kontak rapat dengan individu bergejala dan tanda jangkitan mpox seperti demam berserta ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva serta kornea.
Beliau berkata, tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga 21 hari dari tarikh terdedah kepada jangkitan.
"Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain, sehari sebelum gejala muncul hingga semua lepuh kering serta tanggal sepenuhnya. Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.
"Semua pengamal perubatan dinasihatkan peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi. Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.
"Bagi kes disyaki mpox, swab lepuh dan oral serta sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox, selain perlu dinotifikasi ke pejabat kesihatan daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi," katanya.
Media sebelum ini melaporkan KKM mengesahkan dua kes positif jangkitan mpox membabitkan warga asing dan rakyat tempatan, masing-masing pada 26 serta 29 Julai lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... acar-monyet-dikesan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|