|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Orang ramai bimbang akan berlaku kenaikan harga ayam susulan pengumuman oleh kerajaan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga bahan mentah itu pada Rabu ini.
Tinjauan Harian Metro di sebuah pasar raya di Bangsar, di sini, mendapati mereka gusar berhubung pelaksanaan sistem apungan harga ayam itu yang akan menambah lagi bebanan kewangan.
Kebanyakan mereka berharap kerajaan dapat memberikan jaminan bahawa harga ayam tidak naik terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna.
Peniaga makanan, Haslinda Zainun, 53, berkata sebagai peniaga dia tidak bersetuju dengan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam kerana bekalan berkenaan juga susah untuk didapatkan.
"Jadi apabila bekalan (ayam) pula susah nak dapat, ditambah pula dengan penamatan subsidi menyebabkan perkara ini akan memberi masalah dan membebankan lagi peniaga kecil seperti saya.
"Justeru, saya berharap apabila subsidi ini ditamatkan, harga ayam tidak akan menaik secara mendadak," katanya.
Peniaga Dyla Omar, 42, berkata penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang diumumkan kerajaan, hari ini akan merosakkan ekosistem daripada peniaga sehinggalah pembeli.
"Masyarakat pelbagai golongan terutamanya golongan B40 mungkin akan terjejas teruk jika harga ayam naik akibat penamatan subsidi ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ika-harga-ayam-naik |
|