|
Empat termasuk suami isteri dituduh menerima deposit tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
TELUK INTAN: Suami isteri antara empat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan nilai keseluruhan RM60,250 sejak Mei lalu.
Selain K B Raman Nair, 35 dan isterinya, M Yeohgeswary, 28, dua lagi tertuduh adalah rakan mereka iaitu R Rangini, 38 dan A Kaarthik, 33.
Mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Semua empat tertuduh didakwa didakwa secara bersama menerima deposit daripada K Vinoth, 39, berjumlah RM8,830 tanpa suatu lesen sah sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bertempat di Hong Leong Bank di Tapah antara jam 12.41 tengah hari pada 8 Mei lalu hingga 4.25 petang, 13 Oktober lalu.
Mereka juga didakwa didakwa menerima deposit RM47,330 daripada S Piragasam, 45, tanpa lesen sah antara jam 6.15 petang 14 Mei lalu hingga 11.24 pagi, 17 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa menerima deposit RM4,090 daripada David Robert Hendriks, 41, tanpa lesen sah antara jam 6.43 pagi, 8 Ogos lalu hingga jam 7.53 pagi, 17 Oktober lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan, manakala Raman Nair, Yeohgeswary dan Rangini diwakili peguam Keshvinder Singh.
Hanya Kaarthik diwakili peguam Vinesh.
Hakim menetapkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan sebutan semula kes pada 30 November depan.
https://www.bharian.com.my/berit ... sit-tanpa-lesen-sah |
|