|
Mohd Yunos dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku tidak bersalah mencabul kanak-kanak. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak kepada tukang pemasangan pagar rumahnya dalam kejadian di Kluang, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Yunos Samad, 63, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Tertuduh yang masih bujang dan tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya, antara jam 1.30 hingga jam 2 petang, 22 Oktober lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika bapa mangsa berusia 36 tahun sedang memasang pagar di luar rumah tertuduh manakala kanak-kanak terbabit dijemput masuk ke dalam rumahnya.
Bagaimanapun, kejadian itu disaksikan sendiri bapanya ketika mahu menjemput mangsa pulang sebaik kerja pemasangan pagar selesai.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili A Abrahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana mengambil kira faktor kesalahan yang mana tidak boleh dijamin.
"Melihat kepada kepada pertuduhan ini, pihak pendakwaan mendapati kesalahan ini amat serius kerana membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun," katanya.
Bagaimanapun, Abrahan berhujah, tertuduh wajar dibenarkan ikat jamin memandangkan anak guamnya menghidap angin ahmar dan perlu menjaga ibunya berusia 91 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Mahkamah juga menetapkan syarat supaya tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, selain tidak boleh berhubung atau mendekati mangsa dan keluarganya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -kanak-usia-6-tahun |
|