|
OPERASI bazar Deepavali di Jalan Ungku Puan agak suram pada tahun ini. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Kumpulan peniaga bazar Deepavali di Jalan Ungku Puan, di sini, mendakwa jualan mereka kurang mendapat sambutan pada tahun ini berikutan penganjuran ekspo jualan di beberapa pusat membeli-belah yang dimonopoli usahawan luar.
Penjual pakaian, M Vijaya, 41, berkata, peniaga khuatir mengalami kerugian berikutan lebih 70 peratus barangan ditawarkan masih belum terjual.
Menurutnya, kumpulan peniaga tidak menafikan kebanyakan pengunjung bertumpu di ekspo Deepavali yang bermula hampir dua minggu lalu.
Katanya, sepatutnya penganjuran ekspo Deepavali bagi peniaga luar tidak dibenarkan pada masa ini kerana ia menjejaskan kumpulan peniaga kecil.
"Kami menawarkan pakaian dengan harga berpatutan mengikut kualiti iaitu antara RM30 hingga RM100, namun pelanggan mendakwa ia mahal kerana peniaga di ekspo menawarkan barangan dengan harga borong.
"Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu dengan memberi sokongan dan ruang kepada kami merancakkan kembali perniagaan khususnya ketika perayaan Deepavali tanpa gangguan usahawan luar Johor," katanya.
Sementara itu, penjual aksesori, K Chandran, 58, berkata, hasil jualan kali ini agak berkurangan berbanding tahun lalu.
Menurutnya, sebaliknya pihaknya mendapati penganjuran ekspo menerima sambutan baik.
"Penganjuran ekspo oleh penganjur luar sepatutnya dilarang ketika musim perayaan, kami kecewa perkara ini terlepas pandang hingga ia menjejaskan pendapatan kami.
"Sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memberi lesen kepada usahawan luar untuk mengadakan ekspo jualan di bandar raya ini sempena sambutan Deepavali," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil India Tekstil dan Perhiasan Johor Bahru, J Theyagarajan berkata, pihaknya sudah merujuk pengaduan itu kepada PBT.
Menurutnya, kehadiran usahawan luar menjejaskan pendapatan peniaga kecil India di negeri ini yang baru saja ingin membina kembali perniagaan.
"Ia dimonopoli oleh peniaga luar manakala peniaga Johor menjadi mangsa kerana perniagaan akan terkesan disebabkan pelanggan pergi ke sana berbanding ke tempat kami," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aga-bazar-deepavali |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|