|
Sekitar tinjauan harga ayam terkini berikutan penamatan subsidi dan harga siling ayam yang bermula hari ini di sebuah pasar di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru: Peniaga ayam segar di bandar raya ini mengeluh berikutan jualan bahan mentah itu yang terus merudum teruk walaupun harganya masih mengikut harga siling iaitu RM9.40 sekilogram.
Tinjauan di beberapa pasar basah di Tampoi, Perling dan Skudai mendapati lot-lot niaga ayam segar lengang dengan tiada pembeli dilihat membeli bahan mentah itu seperti sebelum.
Walaupun hari ini adalah hari pertama penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam segar, harga ayam segar dilihat masih terus mengikut harga siling ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram
Peniaga ayam, Mohd Faizul Sahak, 29, mendakwa jualan ayam segar merudum teruk sehingga 40 peratus, sejak bulan lalu.
Katanya, kekurangan pelanggan membeli ayam segar makin ketara sejak dua minggu lalu.
"Sebelum ini kami peniaga ayam segar mampu menjual antara 200 hingga 300 ekor ayam sehari namun sejak dua minggu lalu nak capai 100 ekor pun susah.
"Walaupun hari ini subsidi dan harga siling ayam segar sudah tamat, harga ayam segar masih seperti harga lama yang ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.
"Ramai peniaga risau apabila subsidi dan harga siling ayam ditamatkan kerana takut harganya akan naik mendadak seminggu dua lagi. Pada harga sekarang pun ramai pengguna tak beli ayam, bayangkan bila harganya naik mendadak nanti," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, peniaga ayam, Ann Mohamad, 34, risau ramai peniaga ayam segar akan terjejas berikutan penamatan subsidi dan harga siling bahan mentah itu.
Katanya, orang ramai juga kini beralih dari membuat pembelian seekor ayam kepada hanya membeli bahagian ayam import dari Thailand yang dijual pada harga lebih murah.
"Sebelum ini, setiap keluarga pasti beli dua tiga ekor ayam segar untuk seminggu namun sekarang yang beli seekor ayam pun sudah sangat kurang malah kebanyakan pengguna juga beralih membeli ikan yang murah harganya.
"Dulu peniaga di pasar basah ini mampu jual sehingga 300 ekor ayam segar sehari, namun sekarang dah jam 12 tengah hari pun nak jual 50 ekor pun sakit," katanya.
Pengguna, Aidil Salleh, 46, yang juga atendan pam minyak berkata kebanyakan keluarga kini mengambil langkah berjimat cermat berikutan kenaikan harga bahan mentah yang ketara kebelakangan ini.
"Kami golongan B40 amat terjejas dengan kenaikan harga barang menyebabkan tidak lagi dapat berbelanja seperti dulu. Jika dulu saya beli ayam segar dua ekor untuk seminggu, namun kini dihadkan seekor atau beli bahagian ayam sahaja untuk anak-anak," katanya.
Suri rumah, Noraini Maton, 42, berkata beliau berharap kerajaan dapat membantu golongan B40 yang makin terhimpit serta tidak dapat membeli barangan keperluan seperti dulu.
"Peniaga ayam pun dah maklumkan harga ayam mungkin naik seminggu dua lagi berikutan ketiadaan subsidi dan penetapan harga siling. Jika harga ayam naik nanti, kami makin terhimpit dan tak tahu nak belanja macam mana," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... eluh-jualan-merudum |
|