|
FERNANDES terus jadi sandaran United robek gawang lawan.
London: Erik ten Hag dijangka melakukan tiga pertukaran dalam barisan kesebelasan yang menewaskan Fulham ketika Manchester United berdepan FC Copenhagen dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) Khamis ini.
Manchester United meraih kemenangan menerusi gol minit akhir Bruno Fernandes untuk mengatasi Fulham 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu kemenangan pertama skuad Ten Hag dalam tiga perlawanan.
Mereka akan berdepan FC Copenhagen dalam saingan UCL, aksi wajib menang selepas dua kekalahan awal di kejohanan itu sekali gus menduduki tangga ketiga dan United tiada pilihan selain meraih tiga mata untuk menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
Andrè Onana yang tampil cemerlang sejak akhir-akhir ini bakal beraksi sekali lagi menentang Copenhagen selepas menyelamatkan penalti saat akhir dalam aksi sebelum ini.
Di hadapannya, dua pemain Raphaël Varane dan Sergio Reguilón bakal menggantikan Jonny Evans dan Aaron Wan-Bissaka atas faktor kecergasan.
Wan-Bissaka hanya baru kembali beraksi selepas pulih kecederaan, jadi selepas menentang Fulham, minit permainannya perlu diberi perhatian manakala Evans yang berusia 36 tahun juga berdepan masalah kecergasan.
Melengkapkan bahagian pertahanan ialah Diogo Dalot di posisi kanan manakala Harry Maguire bergandingan dengan Varane selepas beberapa siri persembahan yang baik.
Di bahagian tengah, satu pertukaran dijangka berlaku. Christian Eriksen bakal diketepikan dengan Sofyan Amrabat mengambil alih tugas.
Penjaring gol kemenangan ke atas Fulham, Bruno Fernandes sudah pasti mengekalkan posisinya dan Scott McTominay turut dijangka kekal sekali gus tiada ruang untuk Mason Mount.
Rasmus Højlund dijangka mengetuai bahagian serangan menentang kelab lamanya. Walaupun masih gagal menjaringkan gol di UCL, penyerang muda Denmark itu tetap mampu mencetuskan kebimbangan kepada benteng Copenhagen.
Selepas prestasinya teruk dikritik, Antony mungkin memanaskan bangku simpanan dengan Facundo Pellistri mengambil posisi sayap kanan susulan ramai menganggap pemain Uruguay itu lebih berhak diturunkan selepas membantu jaringan kemenangan Fernandes ketika menentang Fulham.
Akhir sekali, Marcus Rashford dijangka kembali membarisi kesebelasan United selepas tersisih ketika menentang Fulham akibat kecederaan ringan ketika latihan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... i-hidup-mati-united |
|
|
|
|
|
|
| |
|