|
Honda ADV 160 yang dilancarkan Januari lalu untuk pasaran Malaysia kini diperkenalkan dalam warna baru yang dipanggil sebagai Force Silver dan dijual pada harga RM12,999. Ia akan mula berada di wakil pengedar rasmi Boon Siew Honda pada 7 November 2023 dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
ADV 160 adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin sama seperti Vario 160, iaitu satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.
Jika dibandingkan dengan ADV 150 sebelumnya, semua panel badan serta casis ADV 160 sebenarnya adalah baru, termasuklah panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin (lebih tinggi) dan penghadang lumpur hadapan. Dengan badan yang sudah ditukar ini, ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar menjadi 30 liter.
Bahagian meter menggunakan unit LCD yang rata tanpa sebarang butang, dan semua informasi dipaparkan padanya, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang kawalan.
Model yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini, selain dilengkapi brek ABS single-channel, juga diberikan sekali dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.
Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar serta sistem start/stop enjin.
https://paultan.org/2023/11/06/h ... rna-baharu-rm12999/ |
|