View: 3949|Reply: 0
|
[Selangor]
Tipu RM1 bilion: Datuk didakwa turut memperdaya agensi kerajaan
[Copy link]
|
|
Mangsa (dari kiri), Lee Meiklejhon, Shah Abdul Malek dan peguam, Illy Nadiah Mohd Yusof ketika sidang media pendedahan berkaitan penipuan RM1 bilion oleh seorang Datuk di Hotel Royale Chulan The Curve. FOTO AZIAH AZMEE
Petaling Jaya: Beberapa agensi kerajaan didakwa menjadi antara 'mangsa' penipuan seorang lelaki bergelar Datuk yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan sindiket pelaburan palsu dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM1 bilion.
Usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, 51, mendakwa lelaki itu melanggar Akta Syarikat 1965 apabila menubuhkan syarikat dengan objektif perniagaan palsu, membuat pengisytiharan tahunan palsu dan membuat laporan audit palsu.
"Malah, lelaki itu menutup syarikat selepas penipuan selesai supaya salah laku tidak dapat dikesan," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, yang juga menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit serta peguam mewakili mereka, Ily Nadiah Mohd Yusof.
Dia yang juga mangsa penipuan lelaki terbabit mendakwa Datuk itu juga membuat pengisytiharan keuntungan palsu serta tidak mengisytiharkan wang miliknya.
Shah berkata, lelaki itu juga didakwa menjalankan operasi seperti skim cepat kaya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah koperasi dengan menipu jutaan ringgit namun tidak didakwa meskipun wang koperasi dibekukan selain pendaftaran dibatalkan.
"Kami percaya lelaki itu melakukan penipuan dalam kenyataannya dengan memberi maklumat palsu kepada polis semasa siasatan dilakukan.
"Apa yang kami hairan sehingga kini lelaki terbabit tidak pernah ditahan meskipun ada membuat pengakuan bersumpah bahawa dia ada membayar rasuah kepada seorang pegawai atasan bank di mahkamah, baru-baru ini," katanya.
Mengulas mengenai jumlah mangsa baru, dia berkata, lapan individu tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas melihat laporan media berkaitan pembongkaran kes itu, baru-baru ini.
Menurutnya, keseluruhan kerugian membabitkan semua mangsa yang tampil itu dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
"Mereka yang tampil ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional seperti doktor selain ahli perniagaan.
"Kami difahamkan mereka sudah ditipu oleh lelaki terbabit sejak beberapa tahun lalu, namun masih belum membuat polis.
"Justeru itu, kami akan minta mereka kumpul dokumen berkaitan sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk membuat laporan polis," katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki bergelar Datuk didakwa menipu ratusan pelabur sehingga meraih RM1 bilion hasil kegiatan penipuan pelaburan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit diminta menghubungi talian 014-2214433 untuk proses pengumpulan dokumen dan lain-lain tindakan berkaitan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aya-agensi-kerajaan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|