View: 1117|Reply: 0
|
[Johor]
Altamis 'Si Hang Tuah'
[Copy link]
|
|
Penerima Pingat Hang Tuah tahun 2023, Altamis Faiz Shahrullizam, 9, bergambar bersama piala yang diterima pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Grand Ballroom, Holiday Villa Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru: Keberanian seorang murid tahun tiga, Altamis Faiz, menyelamatkan enam ahli keluarganya yang terperangkap dalam kebakaran pada 4 September lalu, mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Hang Tuah.
Altamis Faiz, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor menerima anugerah berkenaan pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Ia disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Anugerah Pingat Hang Tuah yang diperkenalkan sejak 1960, dianugerahkan kepada kanak-kanak yang menunjukkan sifat keberanian istimewa dan luar biasa.
Tujuan utama penganugerahan itu adalah untuk mengiktiraf kanak-kanak yang menunjukkan keberanian dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia, harta benda atau tindakan yang mempunyai elemen keberanian serta luar biasa sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.
Sementara itu, Altamis Faiz yang mengalirkan air mata ketika menerima anugerah berkenaan berkata, dia tidak pernah mengharapkan balasan bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga yang amat disayanginya itu.
Mengimbau kejadian kebakaran yang berlaku itu, dia terjaga dari tidur pada 4 pagi selepas terbau asap di bilik tidurnya.
"Saya nampak asap dari tingkat bawah sebelum turun dan ternampak bilik di bahagian bawah sudah terbakar.
"Walaupun takut, saya memberanikan diri mengambil kunci rumah di bawah dahulu sebelum mengambil dan mendukung adik berusia tiga tahun yang tidur di bilik saya dan mengejutkan ibu bapa serta abang dan dua lagi adik di bilik tidur mereka.
"Alhamdulillah, walaupun kami sekeluarga terpaksa merangkak dari tingkat atas kerana asap yang terlalu tebal, akhirnya kami berjaya menyelamatkan diri dan keluar dari rumah yang terbakar itu," katanya selepas menerima anugerah berkenaan.
Dalam kejadian kebakaran pada 4 September lalu, rumah teres dua tingkat didiami keluarga Altamis Faiz hampir musnah sepenuhnya apabila lebih 70 peratus daripadanya dimamah api.
Ditanya dari mana keberanian selain sikap tidak panik apabila sempat mengambil kunci rumah sebelum mengejutkan ibu bapa serta ahli keluarganya yang lain, Altamis Faiz berkata, ia berkat didikan ayahnya dengan ilmu persilatan.
"Sebenarnya saya belajar supaya tidak gelabah ketika kebakaran apabila menonton satu episod siri animasi Upin dan Ipin mengenai kebakaran supaya tidak panik dan langkah-langkah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, ibunya, Ezrin Baharuddin,49, terharu dengan keberanian serta kebijaksanaan anak kedua daripada lima beradik itu yang sempat mengambil kunci rumah sebelum mengejutkan mereka sekeluarga.
"Jika Altamis Faiz tidak terfikir untuk ambil kunci rumahnya dahulu, mungkin nasib kami sekeluarga berbeza.
"Ini kerana ketika menyelamatkan diri, kami sekeluarga langsung tidak dapat melihat dalam suasana gelap berikutan asap terlalu tebal sebelum kami semua merangkak dari tingkat atas sehingga keluar ke pintu di tingkat bawah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ltamis-si-hang-tuah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|