CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3976|Reply: 0

[Johor] Suapan kasih

[Copy link]
Post time 25-11-2023 03:57 PM | Show all posts |Read mode

ZAINAB menyuapkan nasi impit pada adik-beradiknya. Gambar kanan, Zainab (dari kanan), Razuli, Rosli, Zainah, Jamilah dan Azmi. FOTO Ihsan Siti Nur Atiqah

Kota Tinggi: "Suasana ketika mak long (Zainab Yahaya) menyuapkan nasi impit pada lima adiknya sangat menghibakan terutama ketika pak ngah (Razuli) mengalirkan air mata yang membuatkan kami turut sedih," kata Siti Nur Atiqah Mohd Isa.

Siti Nur Atiqah, 29, adalah individu yang berkongsi video ibu saudaranya, Zainab, 70, menyuap makanan pada ibu dan bapa saudaranya yang lain dan meraih perhatian di TikTok.

Video berkenaan memaparkan Zainab menyuapkan nasi impit pada lima adik-beradiknya iaitu Razuli, 67; Rosli, 62; Zainah, 61; Jamilah, 57, dan Azmi, 49, dalam suasana sayu sekali gus meruntun hati netizen yang turut merasai suasana itu.

Siti Nur Atiqah berkata, video itu dirakam ketika keluarga besarnya mengadakan jamuan makan dan doa kesyukuran buat Zainab yang baru keluar dari hospital kerana serangan jantung di Felda Aping Barat, 11 November lalu.



Menurutnya, jamuan berkenaan dihadiri hampir semua ahli keluarga besar mereka dan idea untuk membuat 'suapan kasih' itu dicetuskan beberapa sepupunya secara spontan ketika ibu dan bapa saudara mereka bersedia untuk mengambil gambar.

"Dua minggu sebelum itu kami sudah buat makan-makan tetapi ada seorang bapa saudara tidak dapat hadir. Kali ini enam beradik ada dan kami ambil kesempatan mengadakan aktiviti tambahan suapan kasih sebagai kenangan bersama.

"Mereka semua termasuk ibu saya sangat sporting dan ketika itu juga pak ngah bergurau dan cakap tak perlu tisu kerana dia tidak sedih membuatkan kami semua ketawa.

"Tetapi apabila mak long mula menyuap nasi impit sambil disusuli lagu Jamal Abdillah iaitu Kasihnya Ibu terus suasana berubah sayu dan pak ngah juga sedih serta mengalirkan mata membuatkan kami semua turut menangis," katanya.

Katanya, keluarga mereka sudah kehilangan datuk dan nenek sejak 11 tahun lalu dan sejak itu ibu saudara sulung menjadi ketua keluarga besar mereka, malah mengakui hubungan mereka erat dan harmoni sejak dirinya kecil sehingga kini.

"Saya dan sepupu lain memang rapat dengan ibu dan bapa saudara. Kalau balik kampung memang meriah dengan gelagat masing-masing dan Alhamdulillah hubungan itu masih erat biarpun masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.

"Semua itu kami contohi daripada ibu dan bapa saudara yang sangat menjaga hubungan dengan saling menyayangi serta menghormati antara satu sama lain selain selalu muafakat dalam semua perkara biarpun nenek dan atuk sudah tiada.

"Mak long ibarat gula dalam keluarga besar kami seperti di mana ada gula di situ ada semut kerana setiap kali Aidilfitri kami akan tanya dia dahulu untuk berkumpul di rumah siapa," katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir.

https://www.hmetro.com.my/utama/2023/11/1033971/suapan-kasih

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-12-2024 07:48 AM GMT+8 , Processed in 0.355798 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list